Jumaat, 30 Jun 2017 | 4:53pm

Kaunter tambahan penukaran kad MyRapid

MyRapid TnG.
MyRapid TnG.

KUALA LUMPUR: Penukaran kad konsesi MyRapid akan di buka di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai bagi laluan Kelana Jaya bermula hari ini.

Ini bagi menampung permintaan pelanggan yang tinggal di utara Kuala Lumpur khususnya pelajar dari Kolej Tuanku Abdul Rahman dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak.

Ketua Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik, Prasarana Malaysia Bhd, Lim Jin Aun, berkata penambahan pusat penukaran ini adalah sebagai inisiatif untuk mengurangkan kesesakan di Hab Bas Pasar Seni.

"Pembukaan penukaran kad konsesi MyRapid di LRT Sri Rampai ini adalah kali yang keempat selain stesen LRT Awan Besar bagi laluan Sri Petaling dan stesen LRT Subang Jaya untuk laluan Kelana Jaya yang sudah beroperasi 21 Jun lalu.

"Pusat penukaran kad konsesi ini beroperasi setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 7 malam hingga 15 Julai ini," katanya dalam satu kenyataan.

Jin Aun, berkata ketiga-tiga pusat penukaran kad konsesi ini, bagi membolehkan pemegang kad konsesi MyRapid yang terdiri daripada pelajar, warga emas, dan orang kelainan upaya (OKU) menukar kad konsesi mereka kepada kad konsesi baru yang bercirikan platform Touch 'n Go (TnG).

"Penukaran ini perlu dilakukan bagi membolehkan pengguna menikmati perjalanan yang lancar dan selesa dengan rangkaian bas Rapid KL, LRT, Monorel dan laluan MRT Sungai Buloh-Kajang yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 17 Julai nanti.

"Pengguna yang menggunakan kad MyRapid akan menghadapi masalah ketika hendak keluar dari MRT laluan Sungai Buloh - Kajang nanti.

"Laluan berkenaan hanya menerima token dan kad simpanan nilai TnG sahaja. Oleh itu pengguna diminta untuk menukar kad MyRapid kepada kad MyRapid TnG yang baharu," katanya.

Katanya, sebelum ini pembaharuan dan permohonan kad konsesi MyRapid baharu hanya boleh dibuat di pusat penukaran Hab Bas Pasar Seni sahaja.

"Kami juga menggalakkan pengguna yang tidak menggunakan perkhidmatan MRT Sungai Buloh-Kajang untuk menukar kad nilai simpanan MyRapid kerana kad ini akan ditamatkan penggunaanya.

"Pemegang kad konsesi Rabbit pula, tidak perlu menukarkan kad mereka kerana kad terbabit sudah bercirikan platform TnG," katanya.

Berita Harian X