Sabtu, 20 Februari 2016 | 3:40pm

1,048 penduduk Pengkalan Chepa terima BR1M

KOTA BHARU: Seramai 1,048 penduduk di daerah Pengkalan Chepa di sini, menerima agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM354,200.

Daripada jumlah itu, 616 penduduk menerima RM400 setiap seorang manakala 428 orang masing-masing menerima RM250, dan empat lagi menerima RM200.

Sumbangan itu disampaikan Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang di sini, sebentar tadi.

Penerima, Mek Som Abdullah, 70, berkata wang RM250 yang diterimanya itu akan digunakan untuk berubat sakit lutut dan darah tinggi yang dihidapinya sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, dengan umurnya yang semakin lanjut, banyak perbelanjaan diperlukan untuk membeli pelbagai ubat bagi merawat penyakit kroniknya itu.

"Alhamdulillah kerana Kerajaan Persekutuan masih meneruskan bantuan BRIM kepada rakyat," katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan itu di sekolah berkenaan. Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO bahagian itu, Ismail Omar.

Penerima, Tan Chai Giok, 89, dari Kampung Pulau Gajah, di sini, berkata walaupun bukan orang Melayu, beliau tetap menerima BRIM RM250 daripada pemimpin UMNO.

"Saya ada dua anak yang hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu.

"Dengan BRIM sebanyak RM250 yang pertama diterima tahun ini boleh digunakan untuk menukar cermin matanya yang sudah patah.

"Nasib saya baik kerana UMNO Bahagian Pengkalan Chepa tidak meminggirkan kami kaum Cina," katanya .

Zaluzi berkata Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM1 juta kepada Parlimen Pengkalan Chepa untuk melaksanakan projek membina benteng di Kampung Pulau Kundor di sini yang sudah dua kali ditimpa bencana air pasang besar sehingga lapan rumah rosak teruk akibat dilanda ombak besar.

"Saya mengadakan lawatan dengan Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melaksanakan projek mencegah hakisan di perkampungan itu.

"Peruntukan RM1 juta itu adalah untuk sementara sebelum disusuli dengan peruntukan tambahan bagi memastikan penduduk Kampung Pulau Kundor terselamat dari masalah sama," katanya.

Berita Harian X