Rabu, 25 Mei 2016 | 4:38pm
SEBAHAGIAN 30 peserta terdiri jurugambar dan wartawan pelbagai organisasi media yang menyertai program Kembara Lensa Murni 2016 (KLM 2016).
SEBAHAGIAN 30 peserta terdiri jurugambar dan wartawan pelbagai organisasi media yang menyertai program Kembara Lensa Murni 2016 (KLM 2016).

Kembara Lensa Murni 2016 kongsi ilmu fotografi

KUALA LUMPUR: Seramai 30 peserta terdiri jurugambar dan wartawan pelbagai organisasi media menyertai program Kembara Lensa Murni 2016 (KLM 2016) anjuran Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) selama empat hari berakhir kelmarin.

Program berkenaan bertujuan berkongsi ilmu fotografi bersama-sama remaja yang menghuni rumah anak-anak yatim Asrama Kebajikan Anak Yatim dan Fakir Miskin Darul Akhyar, Kuala Terengganu.

Program itu turut membabitkan konvoi 15 penunggang motosikal berkuasa tinggi dengan jarak perjalanan sejauh 1,000 kilometer pergi dan balik dengan laluan bermula dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini dengan melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2.

Majlis perasmian dan pelepasan konvoi disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Pengarah Projek KLM 2016, Effendy Rashid, berkata program dwitahunan itu dirangka untuk mengembangkan ilmu fotografi kepada semua pelajar sekolah, terutama mereka daripada golongan kurang bernasib baik.

Ia bertujuan untuk memupuk minat pelajar berkenaan berjinak-jinak dengan bidang fotografi yang kini adalah antara bidang yang menunjukkan perkembangan yang baik di mata masyarakat.

Beberapa jurugambar media turut mencurahkan ilmu dan pengalaman mereka kepada pelajar berkenaan dalam sesi perkongsian khas membabitkan pendedahan pengenalan kamera, penjagaan kamera, sistem dedahan, cahaya, lensa, lampu pancar dan aksesori diperlukan untuk menghasilkan gambar menarik.

"Matlamat program KLM untuk memberi pendedahan kepada pelajar terdiri anak-anak yatim ini mengenai bidang fotografi khususnya menggunakan kamera refleks lensa tunggal atau SLR, kerjaya sebagai jurugambar akhbar dan perkongsian pengalaman jurugambar akhbar seperti liputan majlis rasmi negara, kemalangan, sukan dan lain-lain lagi.

"Kami juga memberi pendedahan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengenai peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang fotografi yang ditawarkan pusat pengajian tempatan seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Selangor (UNISEL).

"Selepas tamat pengajian, pelajar boleh memohon kerjaya sebagai jurugambar di organisasi akhbar, jabatan kerajaan atau swasta.

"Dengan ilmu fotografi mereka juga boleh membuka perniagaan sendiri yang menawarkan rakaman fotografi untuk majlis keraian, perkahwinan, pesta atau mengabadikan rakaman gambar persendirian bersama keluarga dan rakan-rakan.

"Malah, mereka turut boleh menjadi tenaga pengajar dengan menjalankan kelas fotografi kepada pihak yang berminat atau menjadi pensyarah fotografi. Malah, mereka mungkin boleh menjadikan fotografi sebagai hobi dengan merakam sesuatu peristiwa dan objek di sekeliling kita," katanya.

Effendy berkata selain sesi perkongsian ilmu fotografi, KLM 2016 turut menjayakan kerja amal dengan menghulur barangan keperluan makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan gula kepada rumah anak yatim dan fakir miskin di bawah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Berita Harian X