Sabtu, 25 Jun 2016 | 1:04pm

Peniaga minta caj tambahan keluarkan resit

PENGARAH Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Sarip Ismail bersama pemenang 'Jom Minta Resit GST' di Kuantan, sebentar tadi. - Foto Amin Ridzuan Ishak
PENGARAH Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Sarip Ismail bersama pemenang 'Jom Minta Resit GST' di Kuantan, sebentar tadi. - Foto Amin Ridzuan Ishak

KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menerima aduan orang ramai berhubung tindakan segelintir peniaga yang mengenakan caj tambahan kepada pelanggan bagi mengeluarkan resit.

Pengarahnya, Datuk Sarip Ismail, berkata berikutan itu, pihaknya menjalankan siasatan terhadap sebuah syarikat perkakasan di sini dan sudah menyerahkan kertas penyiasatan kepada penasihat undang-undang.

"Ada banyak lagi aduan kita terima mengenai tindakan peniaga mengenakan caj tambahan untuk pelanggan yang meminta resit.

"Contohnya, harga barangan dibeli bernilai RM10 dan apabila pelanggan minta resit, peniaga kata kena tambah RM1 lagi yang bermaksud pelanggan membayar RM11.

"Itu adalah satu kesalahan yang disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) 2014 kerana gagal menyerahkan invois kepada pelanggan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang 'Jom Minta Resit GST' di sini, sebentar tadi.

Pada majlis itu, seramai 80 pemenang peraduan berkenaan dari negeri ini menerima hadiah masing-masing.

Peraduan Jom Minta Resit GST dianjurkan JKDM bagi menggalakkan pengguna meminta resit bagi setiap pembelian dan meningkatkan pematuhan peniaga mengeluarkan resit jualan GST.

Berita Harian X