Selasa, 28 Jun 2016 | 1:11pm

Jangan terpedaya amil palsu

TIMBALAN Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan. - Foto Ainal Marhaton Abd Ghani
TIMBALAN Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan. - Foto Ainal Marhaton Abd Ghani

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menjalankan pemantauan ketat dari semasa ke semasa walaupun tiada kes amil palsu dilaporkan setakat ini.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan tiada umat Islam di negeri ini ditipu oleh individu yang cuba mengambil kesempatan mendakwa sebagai amil tanpa menunjukkan surat tauliah.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya hanya membayar zakat fitrah kepada amil yang diberi tauliah oleh (MUIP).

"Perbuatan individu yang cuba mengambil kesempatan mendakwa sebagai amil tanpa menunjukkan surat tauliah bukan sahaja salah kepada penerima tetapi juga kepada pembayar kerana membayar zakat pada bukan yang hak," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, individu yang menyamar sebagai amil boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah mengikut Seksyen 173 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

"Bagi mereka yang tidak membayar zakat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya mengikut Seksyen 171 enakmen yang sama.

"Kita bimbang jika ada umat Islam membayar zakat kepada pihak yang tidak bertauliah kerana berdasarkan kutipan zakat fitrah berada pada tahap statik setiap tahun iaitu berjumlah RM6 juta," katanya.

Berita Harian X