Selasa, 2 Ogos 2016 | 5:16pm

KPDNKK Pahang pantau pemborong ayam

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang memantau tiga pemborong utama ayam di sini untuk memastikan harga ayam proses yang dijual kepada pengguna kekal bawah RM9 sekilogram (kg).

Pengarahnya, Sharuddin Jali, berkata pemantauan dibuat sejak beberapa minggu lalu selepas mereka didakwa menaikkan harga ayam tanpa sebab sehingga harga di pasaran runcit mencecah RM10 sekilogram.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 jika mendapati ketiga-tiga pemborong ayam berkenaan sengaja menyebabkan harga ayam di pasaran naik mendadak.

"Kita sudah memberi tempoh tujuh hari bermula Selasa lalu kepada ketiga-tiga pemborong ayam terbabit untuk memberi tunjuk sebab serta alasan menaikkan harga ayam.

"Bagaimanapun, setakat ini mereka belum tampil berjumpa dengan kami untuk menjelaskan perkara sebenar. Jadi, kita akan ambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya yang ditemui selepas Majlis Sambutan Aidilfitri KPDNKK Pahang, di sini hari ini.

Sharuddin berkata, pemeriksaan pihaknya juga mendapati memang ada kenaikan harga ayam di pasaran selepas minggu pertama Aidilfitri, iaitu antara RM9.50 hingga RM10 sekilogram.

Mengenai peniaga menjual ayam yang saiznya lebih kecil berbanding sebelum ini, Sharuddin berkata, perkara itu mungkin disebabkan kekurangan bekalan daripada pembekal.

"Mungkin pertumbuhan ayam terbantut disebabkan faktor cuaca serta masalah kesihatan dihadapi ayam ketika ini. Perkara ini di luar bidang kuasa kita, namun pemantauan akan dilakukan jika terima aduan daripada pengguna," katanya.

Berita Harian X