Rabu, 3 Ogos 2016 | 3:30pm

Kolej Vokasional Tanah Merah juara Pertandingan Robotik 2016 Kelantan

(DARI kiri) Muhamad Khairul Anam Hanizan, Muhammad Hafiz Mat Yusoh dan Muhammad Hanif Mohd Shafie menjuarai pertandingan Robotik 2016 Peringkat Kelantan bagi kategori menengah tinggi, di Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi
(DARI kiri) Muhamad Khairul Anam Hanizan, Muhammad Hafiz Mat Yusoh dan Muhammad Hanif Mohd Shafie menjuarai pertandingan Robotik 2016 Peringkat Kelantan bagi kategori menengah tinggi, di Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Kolej Vokasional Tanah Merah menjuarai pertandingan Robotik 2016 Peringkat Kelantan bagi kategori menengah tinggi, di sini hari ini.

Kolej berkenaan yang diwakili Muhammad Hafiz Mat Yusoh, 19; Muhammad Hanif Mohd Shafie, 19, dan Muhamad Khairul Anam Hanizan, 19, akan bersaing pada pertandingan peringkat kebangsaan di Perak pada 23 hingga 25 September ini.

Mentor mereka, Norifuan Mohamed, berkata latihan dan usaha akan terus dipertingkatkan untuk bersaing di peringkat kebangsaan supaya layak ke Kejohanan Robotik Dunia (WRO) di New Delhi, pada 25 hingga 27 November ini.

"Tahun lalu kami layak ke peringkat kebangsaan, namun hanya berjaya di tempat ketiga. Tahun ini kami akan berusaha ke peringkat lebih tinggi dengan robot 'Recycling Plant' yang dicipta daripada Lego dan diprogramkan dalam komputer.

"Robot ciptaan kami pada dasarnya berfungsi mengasingkan sampah mengikut jenis kaca, plastik dan kertas untuk dilupuskan di tempat betul. Kami akan menjalani latihan di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan selain mendapat bimbingan dan sokongan Sasbadi Holdings Berhad.

"Saya percaya dengan kesungguhan peserta dan kerjasama semua pihak, kami mampu melangkah ke peringkat dunia, namun fokus kini adalah peringkat kebangsaan. Kami akan cuba cipta kelainan, lebih kreatif dan inovatif bagi memenuhi kriteria untuk layak ke peringkat seterusnya," katanya.

Pertandingan kali ke-12 ini anjuran Kementerian Pendidikan dan Sasbadi Holdings bertujuan memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Sementara itu, Pegawai Mejar Pertandingan Robotik Peringkat Kelantan, Hayati Abdul Halim, berkata tahun ini, sebanyak 72 sekolah menengah dari seluruh negeri ini menyertai pertandingan berkenaan.

"Setiap tahun, wakil Kelantan berjaya berada antara lima negeri terbaik pada pertandingan peringkat kebangsaan. Kedudukan ini harus dibanggakan kerana pelajar negeri ini mampu bersaing dan menjadi antara peserta terbaik," katanya.

Berita Harian X