Rabu, 7 September 2016 | 1:06pm

Hujan lebat luar biasa punca banjir kilat Isnin lalu

KUANTAN: Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang mengesahkan hujan lebat luar biasa antara faktor menyebabkan beberapa jalan utama di pusat bandar mengalami banjir kilat malam Isnin lalu.

Pengarah SWCorp Pahang, Datuk Mohd Nor Afandi Abdul Aziz, berkata berdasarkan pemantauan yang dilakukan perbadanan itu, saiz longkang yang kecil menyebabkannya tidak dapat menampung air hujan lalu melimpah.

Beliau berkata, Alam Flora Sdn Bhd yang menjalankan kerja pembersihan mengutip sampah dalam sistem perparitan menjalankan operasi mereka mengikut jadual ditetapkan.

"Dalam hal ini, banjir kilat pada malam Isnin lalu lebih kepada hujan lebat luar biasa dan pada masa sama, saiz longkang yang kecil antara faktor aliran tidak dapat menampung kuantiti air hingga menyebabkan banjir kilat.

"Bagaimanapun, SWCorp akan menjalankan pemantauan bagi memastikan sistem perparitan di pusat bandar berada dalam keadaan baik, sekali gus tidak berlaku masalah longkang tersumbat dengan sampah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Mohd Nor Afandi diminta mengulas mengenai beberapa jalan utama di kawasan pusat bandar mengalami banjir kilat iaitu di Jalan Bukit Ubi, Jalan Tun Ismail dan Jalan Kuantan Pintasan dekat Kolej Universiti Shahputra, di sini, malam Isnin lalu.

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan orang ramai khususnya warga Kuantan memandangkan banjir kilat itu berlaku bukan pada musim tengkujuh.

Berita Harian X