Isnin, 19 September 2016 | 6:05pm

Pesakit mental jalani rawatan psikiatri perlu diberi pekerjaan

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir. - Foto BERNAMA
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir. - Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan mahu syarikat swasta memberi peluang pekerjaan kepada pesakit mental yang sedang menjalani rawatan dalam usaha memulihkan mereka untuk menjalani kehidupan normal.

Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher, berkata sudah terbukti 15 daripada 285 pesakit yang mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) boleh melaksanakan tugas selepas diberi peluang.

"Sebenarnya pesakit mental masih ada harapan untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan menjadi warga produktif. Contohnya, syarikat swasta hantar satu tugasan kepada MENTARI seperti buat kuih-muih atau kerja kemahiran seperti jahitan, sulaman, kerja kraf, gubahan bunga atau kerja bersih pejabat.

"Mereka (pesakit mental) melakukannya dengan baik. Kami didik pesakit buat kerja dan mereka dibayar gaji, jadi ada pendapatan stabil dan membantu mereka untuk pulih," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian MENTARI Ketereh di sini, hari ini.

Perasmian pusat berkenaan dirasmikan Tengku Puan Temenggung Kelantan, Datuk Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra.

Yang turut hadir, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, Dr Selasawati Ghazali dan Ketua Jabatan Psikiatri HRPZII, Dr Mohd Ariff Mohd Noor.

MENTARI di Ketereh adalah pusat rawatan psikiatrik pertama di Kelantan yang dinaik taraf dan dijenama semula daripada Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (PPKM) yang ditubuhkan pada 6 Januari 2013.

Berita Harian X