Rabu, 21 September 2016 | 5:12pm

Polis Kelantan rampas dadah bernilai hampir RM5,000

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, Baharom Abu (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rampasan dadah bernilai hampir RM5,000 yang berjaya dirampas di sekitar Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian pada sidang media di IPD Kota Bharu, Pengkalan Chepa. - Foto Fathil Asri
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, Baharom Abu (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rampasan dadah bernilai hampir RM5,000 yang berjaya dirampas di sekitar Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian pada sidang media di IPD Kota Bharu, Pengkalan Chepa. - Foto Fathil Asri

KOTA BHARU: Polis merampas dadah bernilai hampir RM4,000 dan menahan dua suspek dalam dua penahanan berasingan semalam dan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner, Baharom Abu, berkata rampasan pertama adalah dadah jenis heroin bernilai RM2,500 di Kampung Tanjung Stan, Kubang Kerian, kelmarin manakala rampasan kedua, pil kuda bernilai RM1,200 di Kampung Tanjung Kuala Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, dekat sini, semalam.

"Dalam tangkapan pertama, kami menahan lelaki berusia 46 tahun di kawasan semak dan pemeriksaan mendapati empat botol kecil berwarna kuning berisi heroin ditemui di beg pinggang milik suspek dipercayai untuk diedar di sekitar Kubang Kerian.

"Suspek positif dadah jenis morfin ketika ditahan dan direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, dekat sini, hari ini.

Baharom berkata, dalam tangkapan kedua, seorang penganggur berusia 33 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Tanjung Kuala Pulau Gajah dan polis merampas 120 biji pil kuda yang disorok di dalam kotak rokok di bawah tempat duduk motosikal.

"Suspek ketika diperiksa positif dadah jenis Amphetamine dan direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) serta Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

Baharom turut memberi amaran akan menjejak pengedar serta penagih di negeri ini dalam usaha membasmi jenayah berkaitan dadah.

Berita Harian X