Isnin, 10 Oktober 2016 | 2:16pm

Siswazah digalak keluarkan produk agro makanan

PENGERUSI Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Shafik Fauzan Sharif melawat gerai pameran pada Festival Agromakanan dan Bioteknologi (FAMB) 2016 di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di Dewan Sri Mahkota, hari ini. - Foto Mohd Rafi Mamat
PENGERUSI Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Shafik Fauzan Sharif melawat gerai pameran pada Festival Agromakanan dan Bioteknologi (FAMB) 2016 di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di Dewan Sri Mahkota, hari ini. - Foto Mohd Rafi Mamat

KUANTAN: Siswazah yang mempunyai ilmu dalam bidang pembuatan makanan perlu berani menceburi sektor agro makanan yang mempunyai potensi besar dan dapat memberi pendapatan lumayan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Shafik Fauzan Sharif, berkata mereka perlu memanfaatkan ilmu dimiliki bagi menceburi bidang agro makanan terutama pengeluaran industri hiliran hasil pertanian, ternakan dan perikanan.

Beliau berkata, kemahiran dimiliki siswazah mampu memberi kejayaan membanggakan kepada golongan berkenaan dalam perniagaan diceburi, malah kesungguhan yang ada membuka lebih banyak peluang untuk mereka berjaya.

"Kerajaan menerusi agensi seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa membuka ruang untuk membantu usahawan muda.

"Bagi mendapatkan modal kewangan, pihak Agro Bank menyediakan pinjaman, selain agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang turut menyediakan bantuan latihan dan peralatan," katanya pada Festival Agromakanan dan Bioteknologi (FAMB) 2016 di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di Dewan Sri Mahkota, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Pendidikan Politeknik Kementerian Pendidikan Tinggi, Shabudin Man dan Pengarah POLISAS, Norlida Abd Razak.

Seramai 200 pelajar membabitkan lima politeknik iaitu POLISAS, Politeknik Jeli, Kelantan; Politeknik Sandakan, Sabah; Politeknik Nilai, Negeri Sembilan dan Politeknik Tun Syed Nasir, Johor menyertai program dua hari yang turut menyediakan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan inovasi produk makanan, gerai jualan, pameran, ceramah dan pembentangan kertas penyelidikan.

Berita Harian X