Ahad, 25 Disember 2016 | 3:14pm

289 petani terima 1,445 anak pokok buah

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengagihkan bantuan 1,445 anak pokok buahan berkayu kepada 289 petani kecil di Parlimen Ketereh, bagi menggalakkan aktiviti pertanian penduduk.

Bantuan itu membabitkan peruntukkan RM31,950 dengan mengagihkan anak benih pokok durian Musang King, nangka madu, kelapa matag dan durian belanda.

Pengerusinya, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, bantuan itu adalah kali kedua diadakan memandangkan pihaknya menerima permintaan menggalakkan daripada petani.

Katanya, agihan bantuan itu diharap dapat meningkatkan pendapatan petani khasnya petani yang berskala kecil yang terbabit dalam aktiviti penanaman sayuran dan buahan.

"Sebelum ini kita juga beri bantuan ternakan unggas, benih ikan dan input pertanian dengan harapan bantuan ini dimanfaat sepenuhnya golongan petani bagi meningkatkan ekonomi keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui dalam Majlis Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Berskala Kecil dan Pembahagian Hasil Ladang Merdeka Jabil Musim 1/2016 di Balai Rakyat Kok Lanas, di sini, hari ini.

Yang turut hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Pembangunan KADA, Nik Roslan Idris.

Selain bantuan anak benih, KADA turut mengagihkan insentif berjumlah RM47,763.89 kepada 125 peserta Ladang Merdeka Jabil, Ketereh.

Penerima, Mohd Fauzi Jusoh, 56, berkata bantuan anak pokok itu dapat menambah lagi koleksi tanamannya sebagai pendapatan sampingan yang hanya bekerja sebagai penanam padi.

Katanya, dia kini menanam buahan seperti pisang,kelapa dan rambutan di kawasan seluas 0.4 hektar di tepi rumah bagi menyara lapan anak berusia antara 29 hingga lapan tahun.

Berita Harian X