X
Jumaat, 3 March 2017 | 3:41pm
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Pahang didik larangan merokok di taman awam.

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Pahang giat melaksanakan penguatkuasaan pendidikan di seluruh taman awam di negeri ini berikutan pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 oleh Kementerian Kesihatan.

Pengarahnya, Dr Sha'ari Ngadiman, berkata pihaknya meminta Pejabat Kesihatan Daerah memberi pendedahan maklumat kepada masyarakat mengenai larangan merokok di semua taman awam dan taman negara yang termasuk dalam kawasan larangan berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.

Beliau berkata, larangan itu membabitkan seluruh kawasan di taman awam kecuali tempat letak kereta terbuka, manakala tiga tempat utama di Taman Negara dan Negeri iaitu menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi dan jarak lima meter dari laluan masuk atau keluar turut menjadi kawasan larangan merokok.

"Kementerian turut memansuhkan kebenaran merokok 100 peratus di tiga lokasi khas iaitu di hentian pengangkutan awam tidak berhawa dingin, tempat makan berhawa dingin dan stadium terbuka bagi semua jenis rokok, cerut, hasil tembakau lain dan rokok elektronik," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Dr Sha'ari berkata, pihaknya meminta supaya masyarakat di negeri ini terutama pengunjung di kawasan berkenaan dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh jabatan dan menghindari rokok demi kesihatan diri.

"Mereka yang gagal untuk mematuhi peraturan larangan berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun," katanya.

Berita Harian X