Ahad, 19 March 2017 | 1:21pm

H5N1: 31,353 ternakan dilupuskan di 6 daerah

LADANG ternakan ayam itik di Kampung Kedongdong kosong setelah 7,000 itik di rampas oleh Jabatan Veterinar berikutan merebaknya penyakit selesema burung (H5N1) di enam Daerah di Kelantan. - Foto Fathil Asri
LADANG ternakan ayam itik di Kampung Kedongdong kosong setelah 7,000 itik di rampas oleh Jabatan Veterinar berikutan merebaknya penyakit selesema burung (H5N1) di enam Daerah di Kelantan. - Foto Fathil Asri

KOTA BHARU: Sebanyak 31,353 ternakan dan 12,267 telur sudah dilupuskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam usaha membendung penularan wabak selesema burung atau virus Avian Influenza (H5N1)

Pelupusan itu membabitkan 28 lokasi yang disahkan positif virus di enam daerah iaitu 14 lokasi di Kota Bharu; Pasir Mas (6); Tumpat (3); Pasir Puteh (3) dan masing-masing satu di Tanah Merah dan Bachok.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh JPV, sehingga kini tiada lokasi baharu dijangkiti wabak itu dan tiada jangkitan dikesan di kalangan manusia.

"Keadaan adalah terkawal dan terhad kepada kawasan dijangkiti membabitkan ayam kampung serta penternak kecil-kecilan saja.

"Wabak ini sedang dikawal dalam radius 30 kilometer (km) dari lokasi Kampung Pulau Tebu yang membabitkan enam daerah terbabit," katanya.

Pasukan petugas pelupusan digerakkan dengan segera untuk menangkap dan melupuskan semua unggas merangkumi 1 km daripada lokasi yang dikesan.

"Di dalam pemerhatian aktif ini terhadap semua unggas dilakukan dan pengambilan sampel calitan kloakal dan karkas (jika terdapat kematian) diambil sebelum ia dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh, Perak untuk ujian pengesanan.

"Tiada ladang ternakan ayam komersial di dalam 10 km radius kawasan pengesanan penyakit dan beberapa langkah tambahan dikuatkuasakan termasuk pembasmian kuman di permis yang dijangkiti, kawalan pergerakan serta kuarantin zon jangkitan selama 42 hari," katanya.

Berita Harian X