Rabu, 24 Mei 2017 | 2:05pm

MPK serah sumbangan imarah Ramadan

FADZILLA (tiga daripada kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid dalam kawasan pihak berkuasa tempatan itu. - Foto Asrol Awang
FADZILLA (tiga daripada kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid dalam kawasan pihak berkuasa tempatan itu. - Foto Asrol Awang

KUANTAN: Sejumlah RM70,000 diperuntukkan kepada pengurusan masjid dan surau dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi mengimarahkan Ramadan tahun ini.

Yang Dipertua MPK, Datuk Fadzilla Salleh, berkata pihaknya menyerahkan sumbangan kepada 66 masjid dan 159 surau, dengan masing-masing menerima RM350 dan RM250 untuk mengadakan pelbagai program keagamaan sepanjang Ramadan.

Beliau berkata, sumbangan itu adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain mengeratkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan masyarakat setempat.

"Kita harap sumbangan ini dapat membantu pengurusan masjid dan surau mengimarahkan bulan keberkatan dengan pengisian aktiviti bermanfaat kepada masyarakat setempat," katanya pada majlis penyampaian sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau, di sini, hari ini.

Fadzilla berkata, pihaknya juga mengadakan program berbuka puasa dan solat tarawih bersama pelajar sekolah, maahad tahfiz dan anak yatim terpilih di seluruh daerah ini.

"MPK turut menempatkan juadah berbuka puasa sumbangan peniaga bazar Ramadan di setiap bazar dan empat masjid dipilih mengadakan program berbuka puasa iaitu Masjid Al-Hidayah Alor Akar, Masjid Tanjung Api, Masjid Saidina Abu Bakar As Siddik dan Masjid Kampung Pandan Dua," katanya.

Berita Harian X