Sabtu, 30 Januari 2016 | 12:50pm

2,932 keluarga setinggan ditempatkan di PPR EDL

MOHAMED Khaled (enam dari kanan) pada Majlis Perasmian Skim Sewa Beli dan Penyerahan Kunci di Johor Bahru, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
MOHAMED Khaled (enam dari kanan) pada Majlis Perasmian Skim Sewa Beli dan Penyerahan Kunci di Johor Bahru, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Sejumlah 2,932 keluarga dari lapan kampung setinggan yang terbabit dalam projek Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) ditempatkan semua di Projek Perumahan Rakyat (PPR) EDL, dekat sini.

Projek penempatan semula itu membabitkan peruntukan RM303 juta iaitu RM203 juta dalam bentuk geran, manakala baki RM100 juta berbentuk pinjaman kepada kerajaan negeri oleh Kerajaan Persekutuan.

Program penempatan semula itu bermula pada tahun 1998 apabila kerajaan negeri mengurniakan tanah kepada pihak pemaju sebagai ganti atas pemegangan saham dalam syarikat pemaju terbabit.

Lapan penempatan setinggan terbabit adalah dalam kategori pemilikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan penyewaan.

Penempatan terbabit merangkumi Kampung Desa Jaya, Desa Melayu, Desa Makmur, Tengah dan Bunga Raya, Belantik, Tok Siak, Hajah Hasnah dan Bakar Batu.

Majlis Perasmian Skim Sewa Beli dan Penyerahan Kunci perumahan itu disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, pemegang TOL ditawarkan harga RM35,000 manakala mereka yang berstatus penyewa ditawarkan RM50,000.

"Rebat subsidi adalah RM15,000 bagi pembeli unit kediaman bernilai RM35,000, manakala pembeli dalam kalangan anak pemilik rumah dan penyewa tidak ditawarkan rebat.

"Menyedari sebahagian pemilik berdepan kesulitan mendapatkan pinjaman perumahan dari bank, kerajaan negeri menawarkan skim sewa beli kepada 94 pembeli.

"Keseluruhan pembiayaan skim ini membabitkan kos bernilai RM3.9 juta bagi 49 unit rumah berharga RM35,000 seunit dan 45 unit rumah bernilai RM50,000," katanya.

Berita Harian X