X
Isnin, 30 Mei 2016 | 5:01pm

Kejohanan Motocross Bandar Tiram diiktiraf

MOTOCROSS. - Foto hiasan
MOTOCROSS. - Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Kejohanan Motocross Bandar Tiram yang kali kedua diadakan, mendapat pengiktirafan Persatuan Automotif Malaysia (AAM) dengan terbaru disertai 70 pelumba, di litar Motocross Bandar Tiram, dekat sini, semalam.

Pengarah Urusan Johor Land (JLand) Berhad, Lukman Abu Bakar, berkata kejohanan yang diadakan dalam usaha menarik minat orang ramai terutama golongan muda menyertai aktiviti sihat mampu menjadi platform terbaik bagi mencungkil bakat baru dalam sukan permotoran.

Katanya, kejohanan yang dianjurkan Kelab Motor Johor dengan kerjasama JLand itu diadakan di Bandar Tiram yang menjadi lokasi strategik dan sesuai bagi mengumpulkan penggemar sukan permotoran dari seluruh negara.

"Kejohanan kali ini mempertandingkan beberapa kategori termasuk Motocross Open-Expert, 125 Novice, Endurance Open, Veteran Motocross, CKD Bikes dan Cub Cross di litar mencabar yang membabitkan aksi lompatan tinggi termasuk selekoh tajam, selain menggunakan laluan di ladang kelapa sawit," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Majlis penyampaian hadiah kejohanan itu disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Abdul Ghazali Karim.

Lukman berkata, penganjuran program itu yang sebelum ini diadakan di Bandar Dato' Onn dan kini di Bandar Tiram menjadi dorongan serta pemangkin semangat bagi Kelab Motor Johor.

Katanya, Kelab Motor Johor ditubuhkan pada 17 Jun 1986 dengan matlamat utama memaju dan menggalakkan pelbagai sukan motor khasnya di Johor, selain mendedahkan ahli kepada pengurusan pertandingan, pameran serta pertemuan ahli yang berkaitan dengan sukan motor.

Selain itu, Lukman berkata, sempena kejohanan itu, pihaknya turut mempromosikan projek kediaman terbaru JLand iaitu rumah teres dua tingkat dan lot rumah kedai yang turut menawarkan skim untuk pembeli Bumiputera.

"Kami menawarkan 202 unit rumah teres dua tingkat jenis Camelian 1 dan 2 termasuk rumah teres dua tingkat jenis Citrina 1 yang dijual bermula RM421,000, selain lot rumah kedai dua tingkat dengan 24 unit masih dibuka untuk pendaftaran di Bandar Tiram 1," katanya.

Berita Harian X