X
Isnin, 20 Jun 2016 | 4:52pm
PDRM logo
PDRM logo

Lelaki maut terkena renjatan elektrik

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Jalan Ban Foo, Ulu Tiram, dekat sini semalam.

Mayat K Pugulande, 42, beralamat di Jalan Merak, Larkin Jaya, dekat sini ditemui kira-kira jam 4 petang oleh orang awam yang sedang mencari barangan terpakai berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz, berkata siasatan polis di tempat kejadian mendapati mayat mangsa yang lengkap berpakaian, dalam keadaan terlekat pada kabel elektrik.

"Polis percaya mangsa meninggal dunia kira-kira dua hari lalu. Polis terpaksa mendapatkan bantuan TNB untuk mematikan bekalan elektrik bagi mengeluarkan mayat mangsa.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini untuk siasatan lanjut dan hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati mangsa mati akibat kejutan elektrik," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jokhiri berkata, setakat ini polis mendapati tidak wujud sebarang unsur perbuatan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.  

Berita Harian X