Isnin, 29 Ogos 2016 | 12:29pm

700 kanak-kanak sertai program Simulasi Haji Cilik

JOHOR BAHRU: Seramai 700 kanak-kanak tadika menyertai program Simulasi Haji Cilik 2016 bagi merasai pengalaman suasana sebenar mengerjakan ibadah haji.

Pengelola Tadika Genius Qayyum, Norlinda Daud, berkata program yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi pendedahan mengenai suasana sebelum dan ketika menunaikan ibadah haji bagi memberi pengetahuan serta latihan praktikal kepada peserta.

Beliau berkata, pihak sekolah mengambil inisiatif membantu kanak-kanak berusia seawal empat tahun itu bagi memahami dan mempelajari cara melaksanakan ibadah haji menerusi pendidikan secara tidak formal.

"Program Simulasi Haji Cilik ini selaras dengan misi tadika Genius Qayyum dalam usaha menyuburkan rasa kecintaan kepada Islam dan ilmu pengetahuan.

"Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi hingga jam 11 pagi itu mendidik peserta yang terbabit secara langsung bagi memakai pakaian ihram, sekali gus menghayati pengalaman mengerjakan ibadah berkenaan," katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Simulasi Haji Cilik 2016, di Taman Pelangi Indah, di sini, hari ini.

Norlinda berkata, aktiviti yang berteraskan fardu ain itu termasuk menjalankan ibadah tawaf, berwukuf, mengutip batu dan melontar jamrah.

"Program ini juga bersempena musim haji 1437 Hijrah dan satu inisiatif bagi mengajar anak kecil mencintai Rukun Islam kelima pada usia yang masih muda, selain pihak sekolah merancang bagi meneruskan program seumpama itu berikutan sambutan menggalakkan daripada ibu bapa," katanya.

Beliau berkata, program itu membabitkan antara enam cawangan tadika itu di Bandar Baru Uda, Larkin, Taman Pelangi Indah, Pasir Gudang, Sri Pulai dan Tampoi Indah.

Berita Harian X