Ahad, 29 Januari 2017 | 1:24pm

1 maut, nahas tiga kenderaan

KEADAAN PROTON Waja yang remuk dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 48 Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi, berdekatan FELDA Air Tawar 1, Kota Tinggi, malam tadi. - Foto ihsan polis
KEADAAN PROTON Waja yang remuk dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 48 Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi, berdekatan FELDA Air Tawar 1, Kota Tinggi, malam tadi. - Foto ihsan polis

KOTA TINGGI: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 48 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, berdekatan FELDA Air Tawar 1 di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata kemalangan kira-kira jam 9.40 malam itu menyebabkan Mohd Izuan So'od, 28, yang kejadian memandu PROTON Waja, maut di tempat kejadian.

Katanya, mangsa dalam dua lagi kenderaan iaitu PROTON Wira dinaiki tiga orang dan Nissan Almera dinaiki empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak, dilaporkan cedera dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan.

"PROTON Waja dipandu mangsa dari arah Kota Tinggi menghala Sungai Rengit dipercayai gagal dikawal lalu memasuki jalan bertentangan sebelum bertembung dengan PROTON Wira yang dalam perjalanan ke Kota Tinggi.

"Pada masa sama, Nissan Almera dari arah Sungai Rengit menghala Kota Tinggi bertembung dengan kereta mangsa.

"Mohd Izuan cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rahmat berkata, siasatan awal mendapati cuaca hujan dengan permukaan jalan yang licin menuruni bukit selain persekitaran gelap menjadi antara punca kemalangan.

Katanya, siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X