X
Khamis, 27 April 2017 | 8:34pm

Derita bayi sindrom down

HAMIDI (tengah) memberi sumbangan kepada Nor Firdaus Tendot dan isterinya, Ainaa Mohd A'sri. - Foto Mohd Farid Noh
HAMIDI (tengah) memberi sumbangan kepada Nor Firdaus Tendot dan isterinya, Ainaa Mohd A'sri. - Foto Mohd Farid Noh

BATU PAHAT: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itulah yang dialami Muhammad Ammar Tendot Nor Firdaus Tendot, bayi comel yang disahkan sindrom down sejak lahir.

Muhammad Ammar yang baru berusia sembilan bulan, mempunyai saluran pernafasan sempit, selain bermasalah pendengaran dan penglihatan serta baru selesai menjalani pembedahan membetulkan saluran usus.

Bapanya, Nor Firdaus Tendot Abu Bakar, 31, berkata anaknya itu juga terpaksa tinggal di hospital sejak dilahirkan pada Julai lalu sebelum dibenarkan pulang ke rumah Januari tahun ini, berikutan kesihatannya yang memerlukan pengawasan rapi.

Katanya, selama tujuh bulan beliau dan isterinya, Ainaa Mohd A'sri, 30, suri rumah, terpaksa berkampung di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, sebelum memohon dipindahkan kembali ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, Oktober lalu.

Beliau berkata, bayinya itu juga bergantung kepada susu yang dimasukkan menerusi tiub ke saluran pernafasan serta ditambah makanan tambahan serbuk yang disaran hospital bagi memberinya tenaga setiap tiga jam sekali atau lapan kali sehari.

"Muhammad Ammar masih perlu berulang-alik ke hospital berikutan perlu menjalani rawatan, susulan termasuk pemeriksaan saluran pernafasannya yang sempit, masalah pendengaran dan penglihatannya selain menjalani fisioterapi bersama pakar.

"Saya dan isteri juga terpaksa berpindah tinggal bersama ibu di Taman Banang Heights di sini, sejak Januari lalu, bagi menampung perbelanjaan bayi kami yang semakin meningkat terutama susunya.

"Kami juga sudah memohon elaun orang kurang upaya (OKU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baru-baru ini," katanya.

Terpanggil dengan penderitaan bayi berkenaan, Biro Kebajikan UMNO Batu Pahat tampil melawat keluarga berkenaan memberi bantuan kewangan bagi meringankan bebanan mereka.

Pengerusinya, Hamidi Mad Tap, berkata UMNO Batu Pahat akan berusaha mencari dana bagi bantuan pembelian susu bayi berkenaan serta keperluan lain.

Berita Harian X