Isnin, 7 November 2016 | 5:59pm

Dua lelaki hilang di sungai

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Sungai Kemena di Bintulu. - Foto ihsan bomba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Sungai Kemena di Bintulu. - Foto ihsan bomba

KUCHING: Dua lelaki dilaporkan hilang di sungai dalam dua kejadian berasingan di Sungai Kemena di Bintulu dan Sungai Batang Lupar, di Engkelili dalam Bahagian Sri Aman, hari ini.

Dalam kejadian pertama di Sungai Batang Lupar kira-kira jam 1.35 pagi, seorang lelaki berusia 40-an dilaporkan hilang selepas perahu dinaikinya bersama empat rakan karam.

Empat lagi rakannya ditemui selamat selepas berjaya berenang ke tebing manakala mangsa yang belum dikenalpasti identiti belum ditemui sehingga jam 4 petang ini.

Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman, Nik Muhamad Afiq Roslan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa daripada anggota Balai Polis Engkelili pada jam 7.35 pagi tadi.

Beliau berkata, lima anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman dikejarkan ke tempat kejadian bagi melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

"Pencarian kini tertumpu di kawasan sekitar 100 meter dari perahu yang dinaiki mangsa dilaporkan karam, namun sehingga kini masih gagal menemui mangsa," katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan di Bintulu, seorang lelaki warga Vietnam dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Kemena.

Kejadian kira-kira jam 5 pagi itu dilaporkan berlaku ketika mangsa dikenali sebagai Le Minh Chien, 48, sedang membuang air besar di belakang sebuah kapal yang berlabuh di jeti Pasar Bintulu.

Gerakan mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan bantuan beberapa agensi lain di kawasan berdekatan tempat kejadian.

Berita Harian X