X
Rabu, 23 November 2016 | 3:51pm

Komersialkan si'et ke pasaran antarabangsa

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo.
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo.

PETRA JAYA: Kerajaan negeri dicadang mencari kaedah sesuai untuk mengkomersialkan ulat sagu yang diperoleh daripada pokok rumbia yang juga dikenali sebagai 'si'et' kerana ia mempunyai potensi besar menembusi pasaran antarabangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo, berkata si'et yang dikeringkan berkhasiat dan menjadi sumber protein. 

Beliau berkata, si'et mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan hingga harganya mencecah RM60 sekilogram.

"Kita harus mempelbagaikan produk berasaskan sagu, bukan hanya tertumpu kepada pengeluaran tepung sahaja. 

"Hasil lain daripada sagu termasuk si'et juga mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan malah dieksport ke luar negara seperti yang dilaksanakan di Thailand," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2017) di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini. 

Yussibnosh berkata, belanjawan Sarawak 2017 memperuntukkan sejumlah RM229 juta untuk memperkasakan sektor pertanian dan berharap sedikit peruntukkan disalurkan untuk membantu pekebun kecil rumbia di negeri ini.

"Kawasan Mukah dan Dalat adalah pengeluar utama sagu dan sudah tiba masanya untuk mempelbagaikan produk eskport yang berasaskan komoditi itu.

"Langkah itu akan membantu melonjakkan pendapatan masyarakat luar bandar khususnya pekebun kecil rumbia," katanya.

Berita Harian X