Jumaat, 13 Januari 2017 | 12:38pm

IPD Kota Kinabalu tubuh unit peronda berbasikal

KETUA Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra (kanan) beramah mesra dengan sebahagian Unit Peronda Berbasikal atau PVR Bike Patrol di Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. -Foto NSTP/MALAI ROSMAH TUAH
KETUA Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra (kanan) beramah mesra dengan sebahagian Unit Peronda Berbasikal atau PVR Bike Patrol di Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. -Foto NSTP/MALAI ROSMAH TUAH

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu melancarkan unit peronda berbasikal atau PVR Bike Patrol dalam usaha menangani jenayah di bandar raya ini.

Unit berkenaan ditubuhkan pertengahan tahun lalu, namun dilancarkan secara rasmi hari ini selepas melalui proses percubaan bagi melihat keberkesanannya membantu dalam operasi pencegahan jenayah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata setakat ini unit itu dianggotai seramai 20 anggota, termasuk 13 anggota polis sukarelawan (PVR) dengan tujuh daripadanya wanita.

"Pasukan ini melakukan rondaan pada waktu malam bermula jam 8 sehingga 12 tengah malam di beberapa lokasi tumpuan orang awam dan pelancong sekitar bandar raya.

"Antaranya sepanjang Taman Awam Teluk Likas, selain bertugas setiap kali berlangsung program membabitkan orang awam," katanya kepada media selepas Perhimpunan IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Chandra berkata, sejak ditubuhkan, unit itu berjaya menyelesaikan satu kes ragut dan curi motosikal di Taman Awam Teluk Likas.

"Kita yakin dengan adanya rondaan berbasikal ini, kadar jenayah dapat dikurangkan, selain menambah keyakinan masyarakat kepada polis," katanya.

Sementara itu, Chandra berkata, untuk tahun ini, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha mengurangkan kadar jenayah di bandar raya ini, sekali meningkatkan keyakinan masyarakat. Beliau juga berpuas hati dengan kerjasama orang awam dalam membantu menyalurkan maklumat kepada polis.

Berita Harian X