Isnin, 23 Januari 2017 | 7:39pm

Langkah tutup pejabat pelancongan tak rasional

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg (tengah) menyaksikan Pertukaran Dokumen, di antara Pengerusi Tetap Pelancongan, Ik Pahon Joyik (dua dari kiri) dengan Presiden Beijing Glory International Culture Development Co. Ltd, Liu Ning (tiga dari kanan) selepas Perjanjian Persefahaman diantara Kerajaan Negeri Sarawak dengan Empat Syarikat dari Beijing. - Foto NSTP/Che Rani Che Din
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg (tengah) menyaksikan Pertukaran Dokumen, di antara Pengerusi Tetap Pelancongan, Ik Pahon Joyik (dua dari kiri) dengan Presiden Beijing Glory International Culture Development Co. Ltd, Liu Ning (tiga dari kanan) selepas Perjanjian Persefahaman diantara Kerajaan Negeri Sarawak dengan Empat Syarikat dari Beijing. - Foto NSTP/Che Rani Che Din

PETRA JAYA: Tindakan Tourism Malaysia menutup operasi pejabatnya di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta, dilihat sebagai tidak rasional.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, bagaimanapun yakin ia tidak menjejaskan pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

"Langkah itu sepatutnya dibincang dengan kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu berkaitan hingga menyebabkan keputusan itu terpaksa dibuat.

"Berita itu agak mengejutkan dan sudah jelas Sarawak tidak dapat bergantung harap kepada Tourism Malaysia.

"Kita ada agensi sendiri dan tindakan ini tidak menjejaskan Sarawak," katanya.

Sebelum ini, Tourism Malaysia menutup pejabat di New York, Los Angeles (Amerika Syarikat), Perth (Australia), Stockholm (Sweden) dan Johannesburg (Afrika Selatan) berikutan keputusan Penerbangan Malaysia (MAS) menghentikan perkhidmatan di laluan itu.

Ia disusuli kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, hari ini mengenai tindakan penutupan operasi 14 pejabat agensi terbabit di seluruh negara, berkuat kuasa serta-merta.

Abdul Rahman Zohari mengakui tidak diberi gambaran jelas berhubung perkara itu, namun melihatnya sebagai permulaan proses penstrukturan semula agensi terbabit.

"Di Sarawak, kita boleh uruskan promosi pelancongan sendiri kerana kita juga berkebolehan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak dan empat syarikat pengendali pelancongan dari China di Wisma Bapa Malaysia, petang tadi.

Abdul Rahman Zohari berkata, kerajaan negeri terus menyasarkan ketibaan pelancong China.

Tahun lalu, katanya, Sarawak menerima kehadiran 38,000 pelancong China berbanding 32,000 pelancong pada tahun sebelumnya.

"Ia adalah peningkatan 70 peratus dan dengan adanya persefahaman ini, angka itu dijangka berganda pada masa depan," katanya.

Berita Harian X