X
Khamis, 4 September 2014 | 10:19am
REAKSI puas jaguh Jepun, Kei Nishikori selepas menewaskan pemain Switzerland, Stan Wawrinka pada aksi suku akhir Terbuka AS.
REAKSI puas jaguh Jepun, Kei Nishikori selepas menewaskan pemain Switzerland, Stan Wawrinka pada aksi suku akhir Terbuka AS.

Nishikori akhiri penantian 96 tahun Jepun isi slot separuh akhir Terbuka AS

NEW YORK: Kei Nishikori menamatkan penantian hampir seabad Jepun untuk mara ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) hasil kemenangan epik 3-6, 7-5, 7-6 (9/7), 6-7 (5/7), 6-4 ke atas Stan Wawrinka.

Nishikori, 24 yang juga pilihan ke-10 kejohanan memerlukan 4 jam 15 minit untuk menewaskan Wawrinka dan ia adalah perlawanan maraton keduanya selepas menundukkan Milos Raonic pada pusingan sebelum ini yang memakan masa 4 jam 19 minit.

Pemain terakhir Jepun yang mara ke separuh akhir Terbuka AS sebelum ini ialah Ichiya Kumagae pada tahun 1918.

GAYA Kei Nishikori ketika membalas pukulan Stan Wawrinka pada aksi suku akhir Terbuka AS di Flushing Meadows, New. Nishikori mara dengan kemenangan 3-6, 7-5, 7-6 (9/7), 6-7 (5/7), 6-4 dalam perlawanan yang mengambil masa lebih 4 jam.
GAYA Kei Nishikori ketika membalas pukulan Stan Wawrinka pada aksi suku akhir Terbuka AS di Flushing Meadows, New. Nishikori mara dengan kemenangan 3-6, 7-5, 7-6 (9/7), 6-7 (5/7), 6-4 dalam perlawanan yang mengambil masa lebih 4 jam.

Nishikori, yang menamatkan aksi menentang Raonic dengan menyamai rekod tempoh terpanjang perlawanan pada 2:26 petang (waktu Malaysia), semalam turut terkejut dengan kemenangan ke atas pilihan ketiga, Wawrinka yang mempunyai rekod kemenangan besar ke atasnya sebelum ini.

"Ia amat sengit bermula pada awal perlawanan namun badan saya amat baik. Saya merasa lebih yakin selepas set pertama. Saya merasa menakjubkan. Saya bermain amat baik dan berharap untuk beraksi 100 peratus pada separuh akhir nanti," katanya.

Dalam pada itu, Wawrinka memuji stamina yang dimiliki Nishikori yang menghabiskan lebih daripada 13.5 jam di atas gelanggang sepanjang kejohanan ini.

"Daripada luar, dia nampak seperti separuh mati namun di dalam gelanggang, kamu tahu dia boleh bermain. Secara fizikal, dia ada di sana, malah sehingga akhir permainan.

"Saya masih berfikir saya adalah orang paling segar di atas gelanggang namun dia mengatasinya dengan baik," kata juara Terbuka Australia itu. - AFP

Berita Harian X