Khamis, 11 September 2014 | 10:48pm

Arul ambil risiko bawa seorang sahaja penjaga gol hoki

KUALA LUMPUR: Pengendali sementara pasukan hoki lelaki kebangsaan, Arul Selvaraj bertindak berani dengan menamakan hanya seorang penjaga gol dalam pasukan ke Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan bermula 19 September ini.

Katanya, beliau terpaksa berbuat keputusan demikian kerana keperluan dan keutamaan perlu diberikan kepada pemain di bahagian serangan dan pertahanan berikutan corak permainan yang pantas.

"Dengan sistem permainan yang pantas sekarang saya perlukan lebih banyak pemain berbanding penjaga gol. Bagi saya potensi penjaga gol untuk tercedera itu susah kerana tidak banyak pergerakan yang diperlukan," katanya.

Arul berkata demikian pada sidang media bagi mengumumkan senarai skuad 16 pemain di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Dia menambah andai penjaga gol S Kumar mengalami kecederaan dia masih mempunyai alternatif lain iaitu dengan menamakan Mohammad Izad Hakimi sebagai pengganti.

Beliau juga berpendapat tindakannya itu adalah sebagai satu 'senjata rahsia' serta strategi untuk meraih pingat emas serta menempah tiket secara automatik ke Sukan Olimpik 2016 di Rio De Janeiro, Brazil.

"Ini sebenarnya boleh dianggap sebagai satu senjata rahsia skuad negara atau pun perang psikologi bagi menyempurnakan misi skuad kebangsaan untuk meraih sasaran yang ditetapkan.

"Jika kita berjaya meraih pingat emas, kita layak ke Sukan Olimpik tanpa perlu menempuh laluan yang sukar iaitu dengan bertanding di Liga Dunia di India dan Singapura selepas ini," katanya.

Dalam undian Kumpulan A, Malaysia, yang menduduki ranking ke-13 dunia, berada bersama Singapura, Bangladesh, Korea Selatan dan Jepun.

Kumpulan B terdiri daripada India, Pakistan, Oman, China dan Sri Lanka.

Dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Sebagai rekod, skuad hoki meraih pingat gangsa pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan manakala pingat perak bagi edisi 2010 di Guangzhou, China. - BERNAMA

Berita Harian X