Isnin, 22 September 2014 | 3:11pm

Sukan Asia: Undian temu Chong Wei-Lin Dan di separuh akhir

INCHEON: Undian bagi acara badminton perseorangan lelaki Sukan Asia, hari ini menyaksikan Datuk Lee Chong Wei dan juara Olimpik, Lin Dan dijangka bertembung dalam separuh akhir kejohanan nanti.

Peminat di sini mengharapkan satu lagi pertembungan klasik antara kedua-dua gergasi itu dengan Chong Wei akan melakukan buruan pingat emas buat kali terakhir dalam temasya ini.

Undian ditentukan mengikut ranking dunia pemain pada 18 September tahun ini dan Chong Wei serta pilihan kedua China, Chen Long berada pada undian bertentangan.

Lin Dan - yang lebih gemar memilih kejohanan disertai - adalah pilihan kesembilan dan dia masuk dalam kelompok undian membabitkan Chong Wei.

Lin Dan dijangka bertemu pemain pilihan keenam dari Hong Kong, Hu Yun serta pilihan ketiga dari Jepun, Kenichi Tago dalam laluannya sebelum ke separuh akhir.

Chong Wei tampak lebih mudah dengan pilihan kelapan dari Thailand, Boonsak Ponsana menjadi satu-satunya pemain pilihan yang menjadi halangan kepadanya sebelum ke kelompok empat terakhir.

Dalam undian lain, juara dunia, Chen Long adalah pilihan dengan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto dan Son Wan-Ho dari Korea Selatan sebagai ancaman terbesar kepadanya. - AFP

Berita Harian X