Jumaat, 26 September 2014 | 4:11pm

Sukan Asia: Chong Wei tak hirau perhitungan dengan Lin Dan

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika beraksi menentang juara Sukan Komanwel, Kashyap Parupalli dari India di Gyeyang Jimnasium Incheon, hari ini. Chong Wei layak ke suku akhir selepas menang 21-12, 21-11. - Foto Yazit Razali
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika beraksi menentang juara Sukan Komanwel, Kashyap Parupalli dari India di Gyeyang Jimnasium Incheon, hari ini. Chong Wei layak ke suku akhir selepas menang 21-12, 21-11. - Foto Yazit Razali

INCHEON: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menewaskan juara Sukan Komanwel, Kashyap Parupalli, hari ini dan selangkah untuk menempah pertembungan paling dinanti bertemu musuh tradisinya, Lin Dan.

Pemain nombor satu dunia itu seperti berada di kelas tersendiri selepas mudah menewaskan pemain India, Kashyap 21-12, 21-11 untuk mara ke suku akhir di Sukan Asia.

Chong Wei dijangka akan berdepan sama ada pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh ataupun Mustofa Ihsan Maulana dari Indonesia di suku akhir sebelum dijadualkan membuat perhitungan dengan juara Olimpik, Lin Dan yang sering menafikan hasratnya di kejohanan utama.

"Saya tidak memikirkan perlawanan separuh akhir. Esok saya mempunyai perlawanan suku akhir... dan saya memberikan sepenuhnya fokus pada perlawanan itu," kata pemain berusia 31 tahun itu.

Chong Wei sebelum ini tidak pernah meraih emas di Sukan Asia begitupun mengakui bersedia untuk menamatkan kemarau itu sekalipun dikatakan merindui keluarga terutama anaknya ketika ini.

"Dia kini sudah memasuki 17 bulan namun dia hanya boleh berkata Mummy, bukan Daddy," kata Chong Wei.

"Setiap hari saya menghubungi anak dan isteri saya menggunakan FaceTime. Saya masih mempunyai 10 hari di sini. Selepas itu saya pulang namun perlu kembali ke Denmark dan Perancis.

"Saya merindui isteri, anak dan keluarga saya," katanya. - AFP

Berita Harian X