Ahad, 26 Oktober 2014 | 5:14pm

Hafizh kempunan keputusan terbaik di Sepang

PELUMBA Moto2 Pasukan Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin beraksi di perlumbaan Shell Advance Malaysian Motorcycle Grand Prix 2014 di Litar Antarabangsa Sepang di sini hari ini. - Foto Goh Thean Howe
PELUMBA Moto2 Pasukan Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin beraksi di perlumbaan Shell Advance Malaysian Motorcycle Grand Prix 2014 di Litar Antarabangsa Sepang di sini hari ini. - Foto Goh Thean Howe

SEPANG: Kejutan yang ditampilkan di awal perlumbaan Moto2 di Litar Antarabangsa Sepang gagal diteruskan Hafizh Syahrin Abdullah apabila gagal menamatkan perlumbaan di Grand Prix Motosikal Malaysia selepas terjatuh ketika perlumbaan berbaki sembilan pusingan.

Bermula di petak ke-18, Hafizh yang berlumba bersama pasukan PETRONAS Raceline Malaysia membuat kejutan di awal perlumbaan apabila memanfaat sepenuhnya kekalutan untuk berada di kedudukan kelima pada satu ketika.

Sekalipun cuba kekal di kelompok depan, jelas pengalaman tidak memihak pelumba berusia 20 tahun itu yang tergelincir ketika berada di kedudukan kesembilan sebelum terjatuh pada selekoh ke-15 menyaksikan harapannya untuk mengutip mata di laman sendiri, terkubur.

"Tidak ada kesilapan besar yang saya lakukan dan mungkin cuma nasib tidak menyebelahi saya," kata Hafizh mengulas mengenai insiden itu.

"Ketika itu, saya cuba mengikuti belakang (Thomas) Luthi namun disebabkan saya terlebih laju menyebabkan saya terjatuh.

"Ini kali pertama saya berlumba di kelompok depan dalam Moto2 seperti ini jadi ia satu pengajaran yang baik buat saya terutama bagi menghadapi musim depan.

"Saya berharap semua peminat tidak putus harapan terhadap saya dan terus menyokong selain memberi semangat kepada saya," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penunggang negara di Moto2, Azlan Shah Kamaruzaman (Idemitsu Honda Asia) menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 sekali gus pelumba terbaik Asia yang menamatkan perlumbaan di Sepang.

Pelumba Sepanyol, Maverick Vinales menamatkan perlumbaan Moto2 di Sepang selaku juara diikuti pelumba Marc VDS, Mika Kallio dan rakan sepasukannya, Esteve Rabat.

Sekalipun menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga, ia hari yang dianggap istimewa buat

Rabat apabila posisi itu sudah cukup untuk mengesahkan kejuaraan dunia Moto2, musim ini.

Berita Harian X