X
Rabu, 1 Oktober 2014 | 5:52pm
PELAYAR berpengalaman negara, Jeremy Koo bersama krunya Looi Sing Yew, Mohamed Fauzi Mohamed Mustafa dan Ong Khong Shing yang beraksi dalam acara bot kelas J8 di Wangsan Sailing Marina di sini hari ini. - Foto BERNAMA
PELAYAR berpengalaman negara, Jeremy Koo bersama krunya Looi Sing Yew, Mohamed Fauzi Mohamed Mustafa dan Ong Khong Shing yang beraksi dalam acara bot kelas J8 di Wangsan Sailing Marina di sini hari ini. - Foto BERNAMA

Sukan Asia: Jeremy, rakan minta maaf gagal raih emas

INCHEON: Pelayar berpengalaman negara, Jeremy Koo melahirkan rasa kecewa selepas gagal menyumbangkan pingat emas keempat negara di temasya Sukan Asia Ke-17 pada hari penutup tirai sukan layar.

Jeremy bersama krunya Looi Sing Yew, Mohamed Fauzi Mohamed Mustafa dan Ong Khong Shing yang beraksi dalam acara bot kelas J8 terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas melengkapkan perlumbaan ke-72 di Wangsan Saling Marina, hari ini.

Pada aksi penentuan pingat gangsa, Jeremy tewas kepada pelayar Jepun, Sakamoto Wataru dan kru Nobuyuki Imai-Yasuhiro Okamoto-Wada Daichi selepas pasukan 'Matahari Terbit' itu memenangi perlumbaan dengan kutipan 2.0 mata penalti.

Pingat emas menjadi milik Singapura (Soh Maximilian Khyan Tat-Wong Ming Ho Justin-Chan Andrew Paul Lin Jian-Kan Russell Tsung Liang) selepas mendahului Korea Selatan dengan 2.0 mata penalti.

Pasukan Korea Selatan dibarisi Park Gunwoo-Chae Bongjin-Sungmin Cho-Kim Sungwok meraih perak acara tersebut.

Jeremy, selaku jurumudi, berkata beliau dan rakan-rakannya rasa bersalah kerana gagal merealisasikan harapan seluruh kontinjen negara dan juga rakyat Malaysia yang menanti-nantikan sebutir lagi pingat daripada acara pelayaran.

"Kami memohon maaf kepada semua kerana gagal sumbang pingat walaupun kami berusaha dengan sedaya upaya," katanya.

Mengulas mengenai perlumbaan itu, beliau berkata pasukannya bermula dengan baik namun gagal menandingi Singapura yang telah menunjukkan prestasi luar biasa.

"Hari ini bukan untuk kita sebaliknya untuk mereka (Singapura)...hanya itu sahaja saya dapat ulas mengenai Singapura," katanya.

Skuad pelayaran negara berjaya menamatkan cabaran negara di Incheon dengan rekod pencapaian yang boleh dibanggakan selepas berjaya membawa pulang satu pingat emas dan tiga perak dan ia boleh disifatkan sebagai detik gemilang bagi kem pelayaran negara. - BERNAMA

Berita Harian X