Rabu, 1 Oktober 2014 | 9:30pm

Sukan Asia: Sambal, serunding, rendang rahsia kejayaan skuad layar

ATLET Malaysia, (dari kiri) Umi Norwahida Sallahuddin, Nuraisyah Jamil, Mohamad Faizal Norizan, Ahmad Syukri Abdul Aziz dan Khairulnizam Mohd Afendy memperagakan pingat masing-masing di Wangsan Sailing Marina, Incheon, hari ini. - Foto Rosli Rahmat
ATLET Malaysia, (dari kiri) Umi Norwahida Sallahuddin, Nuraisyah Jamil, Mohamad Faizal Norizan, Ahmad Syukri Abdul Aziz dan Khairulnizam Mohd Afendy memperagakan pingat masing-masing di Wangsan Sailing Marina, Incheon, hari ini. - Foto Rosli Rahmat

INCHEON: Inisiatif membawa bekalan makanan sendiri mungkin menjadi salah satu faktor penyumbang kepada kejayaan skuad layar negara membawa pulang satu pingat emas dan dua perak di temasya Sukan Asia ke-17 di sini.

Selain memasak nasi dan beberapa lauk seperti sambal, skuad negara juga dihidangkan dengan rendang, serunding, telur burung puyuh serta aiskrim bagi hidangan pembuka selera.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah berkata pihak persatuan membelanjakan kira-kira RM10,000 bagi menyediakan makanan dan minuman tambahan kepada atlet.

"Saya sendiri tidak sanggup melihat pelayar negara turun dalam keadaan lesu akibat hilang selera makanan apabila terpaksa menjamah hidangan yang sama yang disediakan oleh penganjur," katanya ketika sibuk melayan pelayar negara menikmati hidangan tengah hari di venue pelayaran di Wangsan Sailing Marina dekat sini, hari ini.

"Apabila berada di luar negara, pelayar negara pasti rindu dengan masakan Malaysia," katanya.

Beliau berkata adalah menjadi satu tradisi sejak dahulu bagi skuad layar negara membawa bekalan makanan sendiri apabila mengikuti kejohanan besar seperti Sukan Asia.

Skuad layar menamatkan cabaran negara di Incheon dengan rekod pencapaian cemerlang dengan sebutir emas dan dua perak.

Pingat emas disumbangkan oleh Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz menerusi acara 420 duo lelaki Dinghy manakala pingat perak masing-masing oleh Khairulnizam Afendy dalam acara Laser lelaki dan Nuraisyah Jamal-Umi Norwahidah Sallahuddin (420 Wanita). - BERNAMA

Berita Harian X