X
Jumaat, 3 Oktober 2014 | 8:18pm

Sukan Asia: Saya tetap puas hati menang gangsa - Jun Hoong

PENERJUN negara, Cheong Jun Hoong menunjukkan pingat gangsa yang dimenanginya menerusi acara 3 meter papan anjal individu wanita di Sukan Asia di Incheon, hari ini. - Foto Rosli Rahmat
PENERJUN negara, Cheong Jun Hoong menunjukkan pingat gangsa yang dimenanginya menerusi acara 3 meter papan anjal individu wanita di Sukan Asia di Incheon, hari ini. - Foto Rosli Rahmat

INCHEON: Penerjun negara, Cheong Jun Hoong menyuarakan rasa gembira di atas kejayaan meraih pingat gangsa menerusi acara 3 meter papan anjal individu wanita di Sukan Asia di sini, hari ini.

Atlet berusia 24 tahun dari Perak itu walaupun menang gangsa namun dia berpuas hati kerana pencapaian di sini berjaya memperbaiki catatan mata 271.60 mata yang dicipta pada temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, Ogos lalu.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih dan rakan sepasukan yang telah banyak memberi sokongan kepada saya selama ini," katanya kepada pemberita.

Jun Hoong menambah dia akan memperbaiki beberapa kelemahan dan berlatih dengan lebih gigih bagi meningkatkan persembahan pada kejohanan akan datang.

Di Pusat Akuatik Munhak Park Tae-hwan, hari ini, dia mengutip 327.10 mata dengan perbezaan 70.8 mata di belakang pemenang pingat perak, Wang Hang dari China yang mengumpul 359.30 mata.

Pingat emas bagi acara tersebut dimenangi oleh penerjun China, He Zi selepas berjaya mengumpul markah tertinggi 374.45 mata.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa Ooi Tze Liang apabila hanya menduduki tempat ketujuh dalam 10m platform individu lelaki dengan 414.00 mata manakala rakan sepasukan Chew Yiwei pula menduduki tempat kelapan dengan 406.60 mata.

Pingat emas dan pingat perak bagi acara tersebut turut dikuasai penerjun China apabila Qiu Bo (pingat emas) dan Yan Jian (perak) masing-masing berjaya mengumpul sebanyak 576.40 mata dan 526.95 mata.

Pingat gangsa pula milik penerjun Korea Selatan, Woo Haram dengan kutipan 499.40 mata. - BERNAMA

Berita Harian X