X
Rabu, 19 November 2014 | 7:00pm

Piala Monsun di Terengganu dikenali dunia

KUALA TERENGGANU: Perlumbaan kapal layar Piala Monsun yang diadakan di Pulau Duyong di sini sejak 10 tahun lalu berjaya memperkenalkan negeri Terengganu ke seluruh dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata kejohanan berprestij itu mendapat liputan meluas daripada media cetak dan elektronik dalam dan luar negara.

"Terengganu bukan sahaja sebagai lokasi bersesuaian dengan sukan air, malah dapat menonjolkan elemen-elemen tempatan dan tradisional.

"Kejohanan itu memberi pulangan dan faedah kepada rakyat negeri itu dengan penekanan kepada pembangunan pelancongan dan pendidikan," katanya ketika merasmikan kejohanan Piala Monsun Terengganu 2014 di Marina Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyong, di sini hari ini.

Mohd Jidin berkata kejohanan anjuran kerajaan negeri bersama Innovatige Sdn Bhd, disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Perahu Layar Malaysia itu menjana peluang-peluang perniagaan yang dapat dinikmati terutama usahawan tempatan.

Beliau berkata kejohanan peringkat pertama perlumbaan perahu layar yang disertai oleh pelayar-pelayar dari Australia, Perancis, Singapura, Thailand dan Malaysia itu akan bersaing merebut kejuaraan.

Mohd Jidin berkata enam pasukan dari luar negara yang menyertai kejohanan itu iaitu Team Nuptune Racing yang diketuai Sam Gilmour dari Australia, Match The World dengan Arthur Herreman (Perancis), Team Red Dot diketuai Maximillian Soh (Singapura).

Pasukan lain ialah De Racing (Australia), Redline Racing (Australia), EmThailand (Thailand) manakala dua pasukan dari negara tuan rumah iaitu Malaysia Match Racing dan Sime Darby Foudation-Malaysia Match Racing Team.

"Juara kejohanan itu akan layak ke perlumbaan Jelajah World Match Racing Alpari iaitu Piala Monsun Malaysia di Johor dari 10 hingga 14 Februari 2015," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X