Ahad, 14 Disember 2014 | 7:32pm

Tenis bawa pulang dua gangsa berpasukan di AUG ke-17

PALEMBANG: Atlet tenis negara sekadar meraih dua pingat gangsa dalam acara berpasukan lelaki dan wanita pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17 di Lapangan Tenis Pusat Sukan Jakabaring, di sini, hari ini.

Pada aksi terakhir kumpulan yang menggunakan format round robin itu, skuad lelaki menewaskan Laos 2-1 untuk kekal berada di tangga ketiga manakala berpasukan wanita pula kalah 1-2 kepada Thailand.

Kemenangan pertama pasukan lelaki diraih oleh, Muhammad Ashaari Zainal Abidin yang mudah menewaskan Anandone Khamphoumy 6-0 dan 6-2.

Laos bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi perseorangan kedua mereka, Vithaya Rajawady menumpaskan Muhammad Faeez Said 7-6, 3-6, 6-4.

Ashaari dan Faeez yang digandingkan untuk acara beregu mengesahkan kemenangan pasukan lelaki negara setelah menewaskan pencabar mereka, Anandone-Donedy Keodalasouk, 6-3 dan 6-3.

Pasukan lelaki negara sekadar mencatat satu kemenangan menentang Laos tetapi tewas kepada Thailand (0-3) dan Indonesia (0-3).

Pingat emas menjadi milik Thailand selepas meraih kemenangan dalam kesemua perlawanan manakala Indonesia meraih pingat perak setelah mencatat dua kali kemenangan ke atas Laos dan Malaysia, sekali kalah kepada Thailand.

Pasukan wanita pula terpaksa berpuas hati dengan pencapaian pingat gangsa selepas tewas 0-2 kepada Thailand. Pemain perseorangan negara Cecelia Lai kalah kepada Jaruwadee Kaewma 6-7, 1-6 dalam perlawanan pertama.

Jawairiah Noordin terpaksa menarik diri daripada perlawanan setelah kedua-dua belah kakinya melecet ketika menentang Jundakate Chompoothip, iaitu setelah kalah pada set pertama 5-7.

Pasukan wanita sebelum ini meraih satu kemenangan menentang Laos 2-1 tetapi kalah kepada Indonesia 0-3. Indonesia, meraih pingat emas selepas mencatat kesemua kemenangan manakala pingat perak menjadi milik Thailand dengan catatan dua kemenangan menentang Malaysia dan Laos dan kalah kepada Indonesia.

Jurulatih skuad tenis negara, Abd Nasir Janaro berkata walaupun sekadar meraih pingat gangsa tetapi beliau tetap berpuas hati dengan prestasi pemain.

"Mereka telah buat yang terbaik. Kami tidak meletakkan sasaran yang tinggi kerana Thailand dan Indonesia adalah pasukan yang hebat. Kami hanya ada seorang pemain kebangsaan iaitu Ashaari berbanding Thailand dan Indonesia yang memang mempertaruhkan atlet nasional mereka," kata Abd Nasir. - Bernama

Berita Harian X