Sabtu, 3 Januari 2015 | 12:45pm
MASKOT Paralimpik 2016.
MASKOT Paralimpik 2016.

Paralimpik 2016: Ranking 15 dunia tahap kelayakan

KUALA LUMPUR: Atlet negara perlu berada dalam ranking 15 terbaik dunia bagi memastikan mereka layak secara merit ke temasya Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Pengarah Cawangan Paralimpik, Majlis Sukan Malaysia (MSN), Mohd Safrusahar Yusuf berkata setakat ini Malaysia sudah mempunyai 17 atlet yang berada dalam ranking 10 terbaik dunia.

"Mereka yang telah senarai pendek itu adalah antara pemegang pingat emas pada Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan yang terdiri daripada sukan olahraga, renang, powerlifting, dan berbasikal.

"Fokus kita sekarang adalah agar mereka terus perbaiki kedudukan ranking semasa dunia sebelum temasya itu berlangsung, ataupun sekadar terus mengekalkan ranking sedia ada sekarang," katanya di sini hari ini.

Katanya, pihaknya telah merancang program pembangunan atlet bagi tahun ini bagi memastikan atlet-atlet paralimpik tidak tercicir untuk ke kelayakan Sukan Paralimpik 2016.

Sebagai rekod, skuad paralimpik negera membawa pulang sebutir pingat perak dan satu gangsa pada Sukan PAralimpik 2012 di London, masing-masing menerusi pemanah Hasihin Sanawi dan Muhammad Ziyad dalam acara melontar peluru.

- BERNAMA

Berita Harian X