X
Selasa, 6 Januari 2015 | 12:15pm

Maradona anggap Neuer lebih layak menang Ballon D'Or

LEGENDA bola sepak Argentina, Diego Maradona. - Foto AFP/ theguardian
LEGENDA bola sepak Argentina, Diego Maradona. - Foto AFP/ theguardian

HAVANA: Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona menyifatkan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer lebih layak memenangi Ballon D'Or berbanding Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

"Bukan Messi, mahupun Ronaldo. Pilihan saya adalah Neuer, dia adalah calon paling layak," kata bekas Ketua Jurulatih Kebangsaan Argentina itu ketika kunjungannya ke Cuba, semalam.

Maradona tiba ke Cuba untuk mengambil bahagian dalam satu program sukan bersama syarikat televisyen Venezuela, Telesur.

Namun sebelum itu, wira Piala Dunia Argentina itu berkata kepada stesen radio Habana Cuba; "Ronaldo dan Messi berehat" tahun lalu manakala Neuer memenangi Piala Dunia bersama Jerman.

Pemenang dua kali Pemain Terbaik Dunia, Ronaldo dan pemenang empat kali, Messi serta Neuer adalah tiga calon terakhir untuk memenangi anugerah individu paling berprestij dalam bola sepak, Ballon D'Or.

Majlis gilang gemilang anugerah itu akan diadakan di Zurich, Switzerland pada 12 Januari ini.

Maradona, 54 dijadualkan berada di Cuba selama seminggu dan dikatakan akan melawat bekas presiden, Fidel Castro. - AFP

Berita Harian X