X
Rabu, 14 Januari 2015 | 5:07pm
GAMBAR Mohd Fuad Mohd Reduan (kiri) ketika beraksi di Sukan Komanwel Scotland, tahun lepas. Fuad menjadi antara harapan skuad tinju negara di Sukan SEA Singapura, Jun depan. - Foto sports.yahoo.com
GAMBAR Mohd Fuad Mohd Reduan (kiri) ketika beraksi di Sukan Komanwel Scotland, tahun lepas. Fuad menjadi antara harapan skuad tinju negara di Sukan SEA Singapura, Jun depan. - Foto sports.yahoo.com

PTAM cadang hantar sembilan peninju ke Sukan SEA Singapura

KUALA LUMPUR: Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) bercadang untuk menghantar sembilan peninju termasuk tiga atlet wanita bagi menggalas cabaran negara pada Sukan SEA 2015 di Singapura Jun ini.

Setiausaha Kehormat PTAM, Mohamed Jani Ismail berkata senarai akhir peninju hanya akan dimuktamadkan selepas mereka mengadakan pertemuan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 4 Februari ini.

"Kita akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurus dengan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 20 Januari ini terlebih dulu bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai persiapan kita ke Sukan SEA dan beberapa kejohanan lain tahun ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sembilan atlet berkenaan ialah Mohd Fuad Mohd Reduan (49kg), Mohd Azwan Mohd Nor (52kg), Arfiqanie Ahmad Anshori (56kg), Muhamad Al-Nazirul Osman (60kg), Khir Akyazlan Azmi (64kg) dan Rudy Petrus (75kg) lelaki.

Tiga atlet wanita ialah pemenang pingat gangsa edisi 2011 di Indonesia, Lee Ai Jim dalam kategori 48kg, Nor Azirina Lim (51kg) dan Ainul Mardiyatul Hazizah Habibi (57kg).

Mohamed Jani menjelaskan PTAM meletakkan sasaran dua emas dalam acara lelaki dengan sandaran diletakkan kepada Mohd Fuad, Arfiqanie dan Khir Akzylan selain satu pingat tanpa mengira warna dalam kategori wanita.

"Kita tidak meletakkan sasaran tinggi kepada acara wanita memandangkan tiga peninju ini kita siapkan bagi menghadapi Sukan SEA 2017 yang bakal dianjurkan oleh negara kita," katanya.

Mohamed Jani berkata kesemua atlet berkenaan sudah mula menjalani latihan sejak awal bulan ini di beberapa tempat termasuk di Pusat Latihan Tinju Felda Jempol di Negeri Sembilan dan Kompleks Sukan MSN Keramat, di sini.

Beliau turut menyatakan bahawa PTAM berhasrat menghantar skuad tinju berkenaan menyertai latihan di luar negara iaitu di Filipina pada Februari, Thailand (Mac) serta India dari Mei sehingga awal Jun namun bergantung kepada keputusan muktamad daripada MSN yang menanggung perbelanjaan skuad tinju negara.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad tinju negara adalah dua emas pada edisi 2009 di Laos menerusi dua peninju lelaki; Muhamad Farkhan Haron dalam kelas 75kg dan Muhd Fairus Azwan Abdullah (81kg). - Bernama

Berita Harian X