Khamis, 15 Januari 2015 | 11:15pm

Ronaldo raih anugerah Pemain Portugal Seabad

REAKSI unik penyerang bintang Real Madrid dan Portugal, Cristiano Ronaldo ketika dinamakan pemenang FIFA Ballon d'Or 2014. - Foto AFP
REAKSI unik penyerang bintang Real Madrid dan Portugal, Cristiano Ronaldo ketika dinamakan pemenang FIFA Ballon d'Or 2014. - Foto AFP

LISBON: Pemenang tiga kali anugerah Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo diangkat sebagai Pemain Portugal Seabad dalam satu majlis gala meraikan ulang tahun ke-100 penubuhan badan induk negara itu.

Pengurus Chelsea, Jose Mourinho pula dipilih sebagai penerima anugerah sama bagi jurulatih Portugal Seabad dalam satu majlis gilang gemilang dianjurkan Persekutuan Bola Sepak Portugal yang dijalankan di pinggir Lisbon itu.

Bintang Real Madrid, Ronaldo yang meledak 60 gol daripada 61 penampilan pada 2014 mendapat undi melebihi legenda Portugal, Eusebio atau dikenali dengan 'Black Pearl' yang menyinar pada 1960 dan juga pemenang Ballon d'Or 2000, Luis Figo.

Ronaldo memenangi anugerah ketiga Ballon d'Or, kelmarin di Zurich menewaskan bintang Barcelona, Lionel Messi dan penjaga gol Bayern Munich, Neuer.

Ia kemenangan kedua berturut-turut buat Ronaldo yang memenangi anugerah sama pada 2013 dan 2008.

Antara kejayaan paling membanggakan penyerang berusia 29 tahun itu ialah mengemudi Real menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim lepas dan meledak 17 gol daripada 11 perlawanan.

Begitupun, Ronaldo tidak dapat menghadiri majlis itu bagi memberi tumpuan kepada persiapan Real menentang Atletico Madrid, awal pagi ini dalam perlawanan kedua peringkat 16 terakhir Piala Raja Sepanyol. - AFP

Berita Harian X