X
Sabtu, 24 Januari 2015 | 10:12am

Badminton: Tiga beregu negara pamer aksi di separuh akhir, hari ini

GANDINGAN beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei. - Foto NSTP
GANDINGAN beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Tiga beregu negara, dua wanita dan satu campuran bakal bertarung di peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India, hari ini.

Dalam saingan suku akhir, semalam beregu wanita utama negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei yang juga pilihan utama, mara selepas menewaskan wakil tuan rumah, Sanyogita Ghorpade-Arathi Sara Sunil 21-12 dan 21-16.

Pilihan keempat, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho turut mara selepas menumpaskan rakan senegara, Lim Yim-Loo-Lee Meng Yean 21-15, 21-13 dalam satu lagi perlawanan acara beregu wanita.

Chan Peng Soon-Lai Pei Jing menjadi wakil tunggal negara di peringkat separuh akhir acara beregu campuran selepas dua lagi wakil negara kecundang kepada lawan masing-masing.

Chan-Lai yang juga pilihan keempat, menundukkan pasangan dari Singapura, Chayut Triyachart-Shinta Mulia Sari 21-17, 21-17.

Sementara itu, tiga wakil negara terkandas selepas kalah kepada lawan masing-masing hari ini.

Pilihan ketujuh, Tan Aik Quan-Lee Meng Yean tewas mengejut 21-23, 21-10 dan 10-21 kepada pasangan bukan pilihan tuan rumah, Manu Attri-K. Maneesha dalam acara beregu campuran.

Wong Fai Yin-Chow Mei Kuan yang diletakkan selaku pilihan kelapan dalam acara beregu campuran, bagaimanapun memberi tentangan sengit kepada pilihan utama dari Indonesia, Riky Widianto-Puspita Richi Dili sebelum kalah 21-17, 18-21 dan 17-21.

Perseorangan lelaki kedua negara, Chong Wei Feng pula mengambil keputusan menarik diri pada set ketiga ketika berdepan pilihan utama, K Srikanth dari India selepas beliau mengalami kecederaan.

Wei Feng menang 21-17 pada set pertama sebelum kalah 12-21 pada set kedua.

Malaysia tidak mempunyai wakil dalam acara perseorangan wanita dan beregu lelaki pada kejohanan bertaraf Grand Prix Emas bernilai US$120,000 (RM430,440) itu selepas beberapa pemain terkandas di pusingan awal. - Bernama

Berita Harian X