X
Selasa, 10 Februari 2015 | 3:30pm
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Pengarah Eksekutif Alpari World Match Racing Tour, James Pleasance dan Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menyaksikan pertunjukan kapal layar pada majlis perasmian pembukaan Piala Monsoon Malaysia di Teluk Danga di Country Garden, Danga Bay di sini semalam. - Foto BERNAMA
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Pengarah Eksekutif Alpari World Match Racing Tour, James Pleasance dan Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menyaksikan pertunjukan kapal layar pada majlis perasmian pembukaan Piala Monsoon Malaysia di Teluk Danga di Country Garden, Danga Bay di sini semalam. - Foto BERNAMA

Jelajah Alpari puji Malaysia maju sukan pelayaran

JOHOR BAHRU: Jelajah Alpari World Match Racing, siri perlumbaan perahu layar terkemuka dunia masa kini, berhasrat mengetengahkan program pembangunan pelayaran Malaysia ke arena antarabangsa.

Pengarah Eksekutif, James Pleasance berkata program pembangunan semasa dan kejohanan tempatan seperti Belia Belayar Malaysia dan Liga Layar Malaysia (LLM) begitu mengagumkan dan wajar diteladani negara lain.

"Program seperti ini boleh dijadikan contoh oleh negara lain yang berminat untuk mengadakan program pembangunan sama bagi sukan pelayaran.

"Kami juga merancang untuk memperkenalkan model ini sebagai contoh bagi pengenalan liga baharu," katanya dalam temu bual dengan Bernama di Country Garden Danga Bay, tempat berlangsungnya kejohanan Piala Monsun Malaysia yang bermula hari ini.

Ini kali pertama Johor dipilih sebagai venue pusingan akhir Jelajah Alpari World Match Racing 2014-2015.

Pleasance berkata pihaknya mendapat sokongan daripada Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF), badan pengawas sukan pelayaran, untuk melaksanakan rancangan itu.

Katanya adalah agak mengagumkan apabila melihat Malaysia begitu komited memajukan pelayaran sebagai sukan melalui program pembangunan ini, berbanding negara lain yang dilihat lebih serius dalam sukan berkenaan.

"Program ini amat berjaya dalam melahirkan bakat tempatan. Saya mendapat tahu bahawa pada tahun ini, Belia Belayar Malaysia berjaya menarik sejumlah besar belia menyertainya," kata beliau.

Belia Belayar Malaysia adalah program pembangunan merangkap program mencungkil bakat dalam kalangan belia untuk diberi latihan mengenai kaedah pelayaran yang sewajarnya.

Sejak Februari tahun lalu sehingga Januari 2015, seramai 6,832 belia menyertai program ini.

Sementara itu, LLM - litar perlumbaan kebangsaan, berjaya menyediakan platform bagi pelayar muda dan sedang mencipta nama untuk menyertai kejohanan dan akhirnya menjadi juara di peringkat serantau.

"Dalam masa dua hingga tiga tahun lagi, kita akan dapat melihat lebih banyak program dan liga pelayaran baharu diwujudkan sejajar dengan peningkatan minat dan kesedaran di seluruh dunia terhadap sukan pelayaran," kata Pleasance.

Jelajah Alpari World Match Racing Musim 2014-2015 adalah siri pelayaran profesional terkemuka yang mengandungi tujuh acara kejohanan dunia di serata dunia dan mendapat pengiktirafan ISAF.

Kejohanan itu menawarkan hadiah berjumlah lebih AS$1.4 juta.

Kejohanan Piala Monsun Malaysia adalah pusingan akhir dalam siri perlumbaan jelajah dunia itu.

Menduduki tempat teratas acara dunia ini selepas Peringkat 6 di Hamilton, Bermuda Oktober lalu ialah juara jelajah dunia empat kali, Ian Williams (GBR) (GAC Pindar) yang mengumpul 94 mata. - BERNAMA

Berita Harian X