Selasa, 10 Februari 2015 | 6:31pm

LTdL 2015: Guardini bakal berdepan ujian sengit pelumba muda

KUALA LUMPUR: Pelumba pecut dari Itali, Andrea Guardini akan kembali menggegarkan Le Tour de Langkawi (LTdL) buat kali kelima berturut-turut apabila perlumbaan itu bermula di Langkawi pada 8 Mac ini.

Guardini memenangi beberapa perlumbaan World Tour, antaranya Giro d'Italia 2012 dan Eneco Tour 2014.

Namun, beliau menyedari bakal berdepan cabaran sengit daripada pelumba muda yang begitu bersemangat mengalahkannya pada LTdL 2015.

"Saya amat menyedari kemampuan Caleb Ewan dan Jakub Mareczko. Saya kenal Mareczko, dia dari Brescia, tidak jauh dari tempat saya. Dia kini pelumba pecut yang hebat. Dia memenangi dua peringkat perlumbaan di Venezuela (Vuelta Tachira) pada Januari lalu," kata Guardini dalam kenyataan daripada penganjur LTdL, Human Voyage Sdn Bhd, di sini hari ini.

Pelumba Pasukan Profesional Astana berusia 25 tahun itu tidak asing pada LTdL kerana beliau memenangi 14 peringkat dalam empat edisi sebelum ini, dan beliau memegang rekod meraih enam kemenangan dalam satu perlumbaan LTdL pada 2012.

Guardini mengekalkan kedudukan sebagai pelumba paling banyak memenangi peringkat perlumbaan LTdL, diikuti Graeme Brown dari Australia yang memenangi sembilan peringkat perlumbaan berkenaan dari 2002 sehingga 2005.

Selain Guardini, Pasukan Profesional Astana turut membariskan pelumba muda berbakat dalam pendakian Miguel Angel Lopez, 20, dari Colombia yang memenangi Tour de l'Avenir 2014, pada edisi LTdL kali ini.

Pelumba lain dalam pasukan berkenaan ialah Aleksandr Dyachenko, Daniil Fominykh, Maxat Ayazbayev dan Arman Kamshev semuanya dari Kazakhstan.

"Astana antara pasukan kegemaran peminat sukan berbasikal di Malaysia. Ia satu-satunya World Team dari Asia, maka perlumbaan kami memang sesuai dengan falsafah mereka dalam sukan berbasikal bagi merapatkan pelumba Eropah dan Asia.

"Pasukan ini kembali ke Malaysia membariskan pelumba yang memang kami nanti-nantikan: pelumba pecut terbaik, pelumba pendaki yang semakin meningkat naik.

"Empat pelumba Kazakhstan termasuk Aleksandr Dyachenko yang menduduki tempat keempat dan memenangi Klasifikasi Individu Asia tiga tahun lalu. Mereka pasukan pilihan dalam Klasifikasi Berpasukan Asia pada perlumbaan kali ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Datuk Malik Mydin. - BERNAMA

Berita Harian X