Selasa, 10 Februari 2015 | 8:54pm

Ian Williams dahului hari pertama Piala Monsun Malaysia

Ketua pasukan dari GAC Pindar, Ian Williams ketika sidang media selepas bersaing dalam pusingan pertama Piala Monsun 2015, di Country Garden Danga Bay, di Johor Bahru, hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua pasukan dari GAC Pindar, Ian Williams ketika sidang media selepas bersaing dalam pusingan pertama Piala Monsun 2015, di Country Garden Danga Bay, di Johor Bahru, hari ini. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Juara jelajah dunia empat kali, Ian Williams daripada pasukan GAC Pinder, membuktikan kehebatan apabila mendahului hari pertama Piala Monsun Malaysia yang berlangsung dalam keadaan cuaca cerah serta angin kencang di Danga Bay, di sini, hari ini.

Pelayar berasal dari Britain itu, memenangi lima dari enam perlumbaan pada peringkat 'round robin' pertama, untuk mendahului kedudukan keseluruhan kejohanan berkenaan yang juga pusingan akhir Jelajah Alpari World Match Racing - siri perlumbaan perahu layar profesional terkemuka dunia masa kini.

"Kami bernasib baik hari ini, tetapi sudah tentu kami akan memperbaikinya terutama kesilapan kecil yang dilakukan semasa perlumbaan. Saya rasa kesilapan kecil boleh berubah menjadi penting (dan) diharapkan menjelang akhir perlumbaan ini, kami boleh mengelak melakukan kesilapan kecil," katanya selepas berakhirnya hari pertama perlumbaan berkenaan.

Williams berkata kesilapan kecil tersebut yang lebih kepada aspek teknikal, menyebabkan beliau terpaksa akur kepada Phil Robertson daripada pasukan WAkA Racing, hari ini.

Sementara itu, Keith Swinton daripada Pasukan Alpari FX, menduduki tempat kedua dengan empat kemenangan, diikuti Pierre Antoine Morvan daripada Pasukan Vannes Agglo Sailing dengan tiga kemenangan.

Wakil tunggal Malaysia pada kejohanan berkenaan, Jeremy Koo pula gagal memenangi kesemua tiga perlumbaan, hari ini.

Koo berkata peluang bersaing dengan pelayar profesional dalam kejohanan regata itu, dapat membantu pelayar tempatan termasuk beliau, meningkatkan kemahiran mereka.

"Tahap sukan pelayaran di Malaysia semakin berkembang, bagaimanapun pelayar tempatan kurang mendapat pendedahan. Tidak banyak kejohanan kompetitif di Asia.

"Menerusi kejohanan regata seperti Piala Monsun Malaysia, dapat memberi peluang terutama kepada pelayar tempatan berpotensi untuk lebih meningkat," katanya.

Peringkat round robin kedua akan berlangsung esok.

Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM1.475 juta. - BERNAMA

KEDUDUKAN SELEPAS HARI PERTAMA

Ian Williams (GBR) (GAC Pinder) 5-1

Keith Swinton (AUS) (Pasukan Alpari FX) 4-2

Pierre Antoine Morvan (FRA) (Pasukan Vannes Angglo Sailing) 3-0

Taylor Canfield (US Virgin Islands) (US One) 3-0

Mathieu Richard (FRA) (LunaJets) 2-1

Phil Robertson (NZ) (WAkA Racing) 2-1

Bjorn Hansen (SWE) (Pasukan Hansen Sailing) 2-4

Johnie Berntsson (SWE) (Pasukan Stena Sailing) 1-2

Eric Monnin (SWZ) (Pasukan Swiss Match Race) 1-2

David Gilmour (AUS) (Pasukan Gilmour) 1-2

Jeremy Koo (MAS) (Pasukan Sime Darby Foundation/1Malaysia Match Racing) 0-3

Maximilian Soh (SIN) (Pasukan Red Dot) 0-6

Berita Harian X