Rabu, 11 Februari 2015 | 9:20pm

Piala Monsun: Prestasi Jeremy suram pada hari kedua

Wakil tunggal Malaysia dalam kejohanan Piala Monsun, Koo Racing Team yang dikemudikan oleh Jeremy Koo (dua dari kanan) mengawal kapal layarnya sewaktu bersaing dalam pusingan kedua, menentang Matheiu Richarad dari Luna Jets Racing Team pada Piala Monsun 2015, di Country Garden Danga Bay, di Johor Bahru hari ini. - Foto BERNAMA
Wakil tunggal Malaysia dalam kejohanan Piala Monsun, Koo Racing Team yang dikemudikan oleh Jeremy Koo (dua dari kanan) mengawal kapal layarnya sewaktu bersaing dalam pusingan kedua, menentang Matheiu Richarad dari Luna Jets Racing Team pada Piala Monsun 2015, di Country Garden Danga Bay, di Johor Bahru hari ini. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Ketua pasukan Malaysia, Jeremy Koo terlepas peluang meraih mata pertama semasa pusingan round robin kedua selepas hanya ketinggalan tujuh saat di belakang pelayar Scandinavia, Bjorn Hansen pada hari kedua Piala Monsun Malaysia di Danga Bay, di sini hari ini.

Koo bersama-sama seluruh pasukannya, Sime Darby Foundation-1Malaysia Match Racing, mendahului perlumbaan sejak dari mula hingga pusingan kedua sebelum dipintas Pasukan Hansen Sailing tidak jauh daripada garisan penamat.

"Perlumbaan hari ini lebih baik walaupun kami tewas. Saya berpuas hati dengan prestasi pasukan. Kami ada beberapa peluang mendahului namun kami ada sedikit masalah dalam pengendalian dan masih bergelut untuk mendapatkan kelajuan maksimum, sekurang-kurangnya kelajuan yang sama dengan pasukan lain," katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan di Country Garden Danga Bay, hari ini.

Sebelum itu pada sebelah pagi, pasukan Koo kehilangan setengah mata kerana pelanggaran dengan pasukan Perancis, Luna Jets yang diketuai Mathieu Richard, menyebabkan beliau dikenakan penalti sebelum perlumbaan dengan Maximilian Soh dari Singapura.

"Kami berusaha keras dan banyak belajar apabila kalah. Kami tahu kesilapan kami dan kamu semakin bertambah baik. Kami tidak sabar untuk melakukan yang terbaik pada tiga perlumbaan seterusnya dan mudah-mudahan kami mendapat sesuatu daripada saingan tersebut," katanya.

Koo akan berdepan cabaran sukar apabila terpaksa bersaing dengan jaguh-jaguh dunia iaitu juara jelajah dunia empat kali, Ian Williams; Taylor Canfield daripada pasukan US One dan Eric Monnin daripada Pasukan SailBox, esok. Walaupun tewas dalam semua lapan perlumbaan setakat ini, Koo tetap yakin untuk menampilkan prestasi yang baik pada pusingan round robin ketiga esok.

Williams terus mendahului selepas pusingan round robin kedua apabila mencatat tiga lagi kemenangan, diikuti rapat Canfield dan ketua pasukan New Zealand Phil Robertson, yang masing-masing meraih empat kemenangan hari ini.

Lapan pasukan teratas selepas pusingan round robin ketiga esok, akan meneruskan cabaran di peringkat suku akhir yang dijadualkan Jumaat ini.- BERNAMA

KEDUDUKAN SELEPAS PUSINGAN KEDUA

1 Ian Williams (GBR) (GAC Pinder) 8-1

2 Taylor Canfield (US Virgin Islands) (US One) 7-0

3 Phil Robertson (NZ) (WAkA Racing) 6-1

4 Keith Swinton (AUS) (Pasukan Alpari FX) 6-2

5 Mathieu Richard (FRA) (Luna Jets) 4-3

6 Pierre Antoine Morvan (FRA) (Pasukan Vannes Angglo Sailing) 4-4

7 Bjorn Hansen (SWE) (Pasukan Hansen Sailing) 4-5

8 David Gilmour (AUS) (Pasukan Gilmour) 3-4

9 Eric Monnin (SWZ) (Pasukan Swiss Match Race) 2-5

10 Johnie Berntsson (SWE) (Pasukan Stena Sailing) 2-6

11 Maximilian Soh (SIN) (Pasukan Red Dot) 1-8

12 Jeremy Koo (MAS) (Pasukan Sime Darby Foundation/1Malaysia Match Racing) 0-8

Berita Harian X