Jumaat, 13 Februari 2015 | 8:17pm

Piala Monsun 2015: Ian Williams makin hampiri kejuaraan

PASUKAN GAC Pindar yang dikemudi Ian Williams (kanan) pada Jelajah Alpari World Match Racing Piala Monsun 2015 di Teluk Danga, Johor Bahru hari ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
PASUKAN GAC Pindar yang dikemudi Ian Williams (kanan) pada Jelajah Alpari World Match Racing Piala Monsun 2015 di Teluk Danga, Johor Bahru hari ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Pelayar Britain, Ian Williams daripada pasukan GAC Pindar semakin hampir menjulang Piala Monsun 2015 apabila berjaya menewaskan lawan pilihan, Eric Monnin daripada pasukan SailBox pada peringkat separuh akhir pertama di Teluk Danga, di sini, hari ini.

Dalam saingan itu, Williams memungut dua mata penuh daripada dua perlumbaan yang diadakan. Bagaimanapun, pagi esok beliau masih perlu meraih satu lagi mata dalam peringkat separuh akhir kedua bagi membolehkannya layak ke saingan final pada sebelah petang.

Bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan separuh akhir pertama, Williams berkata pasukannya yakin untuk mara ke final berdasarkan semangat berpasukan yang tinggi.

"Pada masa sama, kita tidak boleh memandang rendah pasukan lawan kerana ia bukan keputusan final," katanya.

Selain Wiliams, Mathieu Richard daripada pasukan LunaJets juga memperoleh dua mata dalam saingan itu selepas menewaskan Taylor Canfield dari pasukan US One.

Sementara itu, pelayar negara Jeremy Koo, menjangkakan Williams mempunyai peluang cerah untuk menjulang Piala Monsun berikutan kepakaran dan pengalaman sebagai juara dunia empat kali.

Koo, yang gagal layak ke peringkat suku akhir, berkata sejak hari pertama lagi Wiliams mudah melepasi peringkat kelayakan dan suku akhir.

"Williams dan Canfield adalah pilihan utama bagi kejohanan namun pilihan saya ialah Williams kerana beliau mempamerkan aksi konsisten dari hari pertama kejohanan."

"Bagaimanapun, ramalan itu boleh berubah kerana perlumbaan dipengaruhi faktor cuaca termasuk angin yang akan menggugat persembahan setiap peserta,"katanya.

Koo daripada pasukan Sime Darby Foundation-1Malaysia Racing Team tersingkir dari saingan kelayakan semalam apabila gagal memenangi sebarang mata dari 11 perlumbaan.

Bagaimanapun, aksi Koo pada kejohanan itu wajar dipuji kerana beliau adalah salah seorang wakil dari Asia selain Maximilian Soh dari Pasukan Red Dot dari Singapura.

Mengulas lanjut, Koo berkata kekalahannya tidak akan membuatkannya berputus asa namun berharap semua pihak akan menyokongnya pada masa depan untuk memastikan negara mampu melahirkan juara dunia.

Piala Monsun adalah pusingan akhir dalam Siri Jelajah Dunia Alpari dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM1.475 juta. - BERNAMA

KEDUDUKAN PERINGKAT SEPARUH AKHIR PERTAMA

Ian Williams (GBR) (GAC Pindar) 2-0

Taylor Canfield (US One) 0-2

Eric Monnin (SWZ) (SailBoxTeam) 0-2

Mathieu Richard (FRA) (LunaJets) 2-0

Berita Harian X