X
Sabtu, 14 Februari 2015 | 10:17pm
IAN Williams bersama pasukan GAC Pindar gembira menjadi juara Jelajah Alpari Worid Martch Racing Piala Monsoon di Country Garden. - Foto NSTP
IAN Williams bersama pasukan GAC Pindar gembira menjadi juara Jelajah Alpari Worid Martch Racing Piala Monsoon di Country Garden. - Foto NSTP

Piala Monsun 2015: Ian Williams lakar kemenangan berganda

JOHOR BAHRU: Pelayar Britain, Ian Williams mencipta kemenangan berganda dengan merangkul kejuaraan Piala Monsun 2015 - sekali gus dinobat juara dunia dalam Siri Jelajah Match Racing Dunia Alpari (AWMRT) di perairan Teluk Danga di sini, hari ini.

Williams meraih gelaran juara AWMRT buat kali kelima, sekali gus memecah rekod dunia dipegang pelayar Australia, Datuk Peter Gilmour yang muncul juara pada 1990, 1997, 1998 dan 2006.

Jurumudi pasukan pasukan GAC Pindar itu sebelum ini memenangi siri dunia itu pada 2007, 2008, 2011 dan 2012.

Dalam saingan final Piala Monsun, Williams dengan mudah menewaskan jurumudi Perancis, Mathiue Richard daripada pasukan LunaJets dengan kiraan 3-0.

Bagaimanapun, Williams mengesahkan gelaran dunia di peringkat separuh akhir pada sebelah pagi apabila mengalahkan Eric Monnin daripada pasukan SailBox dengan kiraan 3-0.

Piala Monsun adalah pentas terakhir dalam siri AWMRT musim ini.

Kejayaan dalam Piala Monsun 2015 membolehkan Williams mengumpul keseluruhan 132 mata untuk mengatasi pencabar terdekat, Taylor Canfield daripada pasukan US One dengan kelebihan 11 mata.

Melalui kemenangan berganda itu, Williams, yang dibantu empat kru Gerry Mitchell, Mal Parker, Chris Main dan Graeme Spence, membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM668,000 beserta sebuah piala pusingan.

Tempat ketiga disandang oleh Canfield selepas mengalahkan Monnin dalam saingan tempat ketiga dan keempat.

Canfield menerima hadiah RM155,000 manakala Monnin pula RM140,000.

Penyampaian hadiah dan piala pusingan kepada pemenang disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sementara itu, Williams berkata kejayaan yang dicapai itu sukar dipercayai namun berbaloi dengan usaha keras yang dilakukan beliau selama 11 tahun.

"Apabila menceburi bidang ini sepenuh masa, saya terpaksa melupakan kerjaya saya sebagai peguam.

"Saya menyimpan hasrat untuk merangkul satu gelaran dunia pada satu hari nanti...jadi menjuarai sebanyak lima kali merupakan sesuatu yang hebat," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X