Sabtu, 21 Februari 2015 | 7:53pm

Zaqhwan puas hati ujian di Sepang

REAKSI pelumba Moto2 negara, Mohd Zaqhwan Zaidi ketika meneliti jenteranya pada sesi ujian pra musim di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Bernama
REAKSI pelumba Moto2 negara, Mohd Zaqhwan Zaidi ketika meneliti jenteranya pada sesi ujian pra musim di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Bernama

SEPANG: Sensasi baharu perlumbaan jentera dua roda Malaysia, Mohd Zaqhwan Zaidi menyifatkan ujian pra-musim Moto2 pertamanya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang berakhir, semalam sebagai memuaskan.

Berbeza dengan kebanyakan pasukan lain dalam kelas sama yang melakukan ujian di Jerez, Sepanyol, Zaqhwan dan pasukannya JPMoto Racing dibenarkan untuk melakukan ujian selama tiga hari itu di Malaysia.

"Ia ujian pertama yang amat baik. Begitupun, masih banyak yang perlu dilakukan terutama pelarasan dari sudut suspensi kerana kami menggunakan jenama baharu.

"Mungkin ia akan mengambil sedikit masa untuk mendapat rentak," kata pelumba berusia 19 tahun itu.

MOHD Zaqhwan Zaidi ketika menjalani sesi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Osman Adnan
MOHD Zaqhwan Zaidi ketika menjalani sesi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Osman Adnan

Sebelum menempah tiket beraksi sepenuh masa di Kejuaraan Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto2 musim ini, Zaqhwan terlebih dulu menakluk pentas Asia musim lepas dengan menjuarai kelas 600cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Cub Prix (CP130).

Begitupun, Zaqhwan dan pasukannya tidak meletakkan sasaran menggunung pada penampilan pertamanya itu.

Berbeza dengan kebanyakan pelumba di kelas sama yang menggunakan casis Kalex, Zaqhwan dan pasukannya akan menggunakan casis keluaran Suter.

Perlumbaan pembuka tirai MotoGP adalah di Grand Prix Qatar pada 29 Mac depan.

Selain Zaqhwan, dua lagi pelumba negara yang turut beraksi sepenuh masa di Moto2 ialah Hafizh Syahrin Abdullah dan Azlan Shah Kamaruddin.

Dalam kelas Moto3 pula, Malaysia akan diwakili seorang penunggang berbanding dua pada musim lepas iaitu Mohd Zulfahmi Khairuddin yang berlumba bersama SIC Racing Team.

Berita Harian X