Khamis, 26 Februari 2015 | 2:31pm

Sukan SEA 2015: Senarai pelayar Malaysia diumum esok

LANGKAWI: Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) akan mengumumkan senarai pelayar yang bakal membawa cabaran negara ke Sukan SEA 2015 selepas mesyuaratnya di Kuala Lumpur esok.

Pengurus Besar MYA, Mohd Afendy Abdullah berkata seramai 32 pelayar akan dipilih menyertai pasukan negara bagi acara itu pada temasya sukan itu di Singapura, Jun ini.

"Barisan pelayar yang dipilih akan menjalani latihan berpusat di Kompleks Perahu Layar Kebangsaan Langkawi sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi Sukan SEA," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya sebelum ini, seramai 70 pelayar sudah menjalani latihan pemilihan untuk menyertai pasukan layar negara.

Mereka juga bertanding dalam beberapa kejohanan termasuk Regata Perdana Antarabangsa Langkawi yang berakhir pada 15 Februari lalu.

Pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, pasukan layar Malaysia mengutip dua pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa. - BERNAMA

Berita Harian X