Isnin, 2 March 2015 | 5:23pm
BINTANG tenis Jepun, Kei Nishikori. - Foto AFP
BINTANG tenis Jepun, Kei Nishikori. - Foto AFP

Jelajah ATP: Nishikori lonjak rebut tempat ke-4

TOKYO: Bintang tenis Jepun, Kei Nishikori melonjak ke tangga keempat ranking Jelajah ATP - menyamai pencapaian rakan senegara, Kimiko Date-Krumm selaku pemain ranking tertinggi dari negara berkenaan.

Pemain berusia 24 tahun itu yang menjadi pemain tertinggi Asia berkata: "Saya baru melihat ranking baharu dunia. Saya bangga dengan satu lagi langkah ke atas, minggu ini."

Nishikori - naib juara Terbuka AS, tahun lalu, kini di belakang Novak Djokovic, Roger Federer dan Rafael Nadal selepas memintas pemain Britain, Andy Murray.

Ini bererti dia akan mengelak pertemuan dengan tiga pemain teratas dunia itu sehingga pertemuan dalam peringkat separuh akhir pada kejohanan utama.

"Dia ada sentuhan juara," kata bekas pemain nombor satu Jepun, Shuzo Matsuoka.

"Pemain ini memiliki imaginasi dan pukulan yang anda tidak boleh mengajar."

Nishikori, baru-baru ini menjuarai Terbuka Memphis buat kali ketiga berturut-turut - iaitu gelaran kelapan jelajah ATP dan makin rapat dengan Nadal kerana ketinggalan hanya 260 mata di belakang juara Grand Slam 14 kali itu.

Bekas bintang China, Li Na turut mencipta bangga untuk Asia selepas menghuni tangga kedua ranking Jelajah WTA dalam perseorangan wanita selepas menjuarai Terbuka Australia serta menjulang trofi Terbuka Perancis pada 2011.

Jurulatih Nishikori, iaitu Michael Chang yang juga bekas pemain nombor dua dunia pernah menjuarai Terbuka Perancis pada 1989. Ibu bapanya berasal dari Taiwan dan dia membesar di Amerika Syarikat. - AFP

Berita Harian X