Selasa, 3 March 2015 | 7:40pm

LTdL 2015: Pasukan TSG umum 6 pelumba sahut cabaran

PASUKAN Terengganu Cycling Team (TSG) pada Majlis Perasmian Memperkenalkan Pelumba dan Pelancaran Jersi dan Penajaan Terengganu Cycling Team (TSG) di Duyong Marina & Resort . .- Foto Aswadi Alias
PASUKAN Terengganu Cycling Team (TSG) pada Majlis Perasmian Memperkenalkan Pelumba dan Pelancaran Jersi dan Penajaan Terengganu Cycling Team (TSG) di Duyong Marina & Resort . .- Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG), hari ini mengumumkan senarai nama enam pelumba untuk mewakili pasukan itu dalam kejohanan Le Tour de Langkawi 2015 (LTdL 2015).

Kejohanan yang bermula Ahad ini hingga 15 Mac nanti menyaksikan pelumba TSG dibarisi Mohd Harrif Salleh, Anuar Manan, Muhammad Adiq Hussaini Othman, Mohd Zamri Salleh, Mohd Saiful Anuar Aziz dan seorang pelumba import dari Singapura Goh Choon Huat.

Ketika kejohanan itu, Zamri Salleh selaku pelumba sensasi dan berpengalaman akan diberi tanggungjawab mengetuai pasukan TSG oleh jurulatihnya dari Perancis, Sebastien Duclos.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman pada majlis pelancaran pasukan TSG di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat.

Edisi ke-20 LTdL bakal membabitkan lapan peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,109.9 kilometer.

Sementara itu dalam ucapan, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan menyediakan laluan berbasikal di jalan-jalan tertentu di bandar ini bagi kemudahan kenderaan rekreasi itu.

Menurutnya, berikutan perkembangan dan minat rakyat yang semakin meningkat terhadap aktiviti berbasikal penyediaan laluan berbasikal akan mempertingkatkan tahap keselamatan para penunggang. - BERNAMA

Berita Harian X